“Saya Tak Nak Dia Minta Maaf Dekat IG, FB Atau Apa. Saya Nak Dia Bersemuka,” – Rita Rudaini

Share

Susulan laporan polis yang dibuat pelakon Rita Rudaini terhadap seorang pengguna Instagram yang didakwa mempersoalkan sah taraf anaknya semalam, peguam Rita, Mohd Syakirin Syazwan Mohd Nayan menegaskan apa yang berlaku secara langsung mencemarkan imej anak guamnya itu.

Syakirin ketika ditemui media menambah pihaknya memberi masa 14 hari kepada individu yang menggunakan nama akaun @ahmadsan81 di Instagram untuk tampil membuat permohonan maaf secara bersemuka atau hal ini akan dibawa ke tengah.

“Menurut kepada kenyataan yang dikeluarkan atau yang diberikan di ruangan komen, pernyataan tersebut adalah berunsurkan fitnah yang mana telah pun mencemarkan atau memberi kesan kepada maruah serta nama baik Puan Rita.

“Daripada pernyataan tersebut, pemilik akaun tersebut telah pun mempersoalkan taraf anak Puan Rita, jadi pernyataan tersebut telah pun ternyata telah disiarkan dan semua telah nampak kenyataan berkenaan.

“Disebabkan hal itu, laporan polis telah pun dibuat supaya tindakan selanjutnya boleh dibuat terhadap si pemberi komen,” katanya lagi.

Sementara itu, Rita pula meminta pihak berkenaan untuk tampil mohon maaf secara empat mata dan bukan menerusi media sosial.

“Dari sudut perundangan, kami akan berikan salam masa 14 hari, pemilik akaun tersebut tampil secepat mungkin untuk membuat satu permohonan maaf secara terbuka atas tindakan beliau.

“Dia kena berjumpa… saya tak nak dia minta maaf dekat Instagram, Facebook atau apa. Saya nak dia bersemuka dengan saya.

“Dia datang minta maaf dengan saya secara terbuka dalam masa tarikh yang ditetapkan. Kalau tidak ada, kita akan ambil tindakan,” pinta Rita.

Sebelum ini, menerusi Instagram milik Rita, seorang netizen meninggalkan komen mempersoalkan status sah taraf anak-anaknya pada salah satu foto yang dimuat naik.

“Entah anak-anak hang (kamu) anak sah taraf ke? Tanya jer,” tulis pemilik akaun tersebut.

Difahamkan, pihak Rita sudah mendapat maklumat peribadi individu yang dimaksudkan, lengkap dengan nama, nombor telefon serta gambarnya.

Rita tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kota Damansara, kira-kira jam 3.00 petang, pada Isnin.

Published by
Rafiq Mazlan