Meksipun sudah mempunyai rangkaian lagu-lagu hits, penyanyi Hazama tetap merasakan dirinya belum cukup layak untuk mengadakan konsert solo.
Menurut Hazama, dia ada menerima beberapa tawaran untuk mengadakan konsert solo tetapi terpaksa ditolak bagi memberikan fokus untuk menerbitkan album kedua.
“Sejak beberapa tahun lepas, banyak pihak yang menawarkan saya untuk mengadakan konsert solo tapi saya tolak. Saya rasa belum cukup lagu.
“Walaupun saya sudah mempunyai beberapa lagu hits, tapi saya rasa tak cukup. Setakat ada tujuh lagu hits, belum tentu kuat untuk dibawa ke konsert.
“Lihat sahaja nama-nama besar seperti Datuk M. Nasir dan Wings, mereka ada 20 hinga 30 lagu hits, baru layak nak buat konsert.
“Ini hanyalah pandangan saya. Pandangan saya tak semestinya betul,” katanya kepada MH.
Hazama berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media dan pelancaran album keduanya berjudul ‘Pujangga’, baru-baru ini.
Katanya lagi, sekiranya diizinkan untuk mengadakan konsert solo satu hari nanti, Hazama mahu konsert tersebut mempunyai konsep yang melambangkan dirinya sendiri.
“Sebelum ini, saya banyak menumpang konsert orang. Bila orang tanya, tak nak buat konsert ke? Saya jawab belum lagi dan saya nak siapkan album dahulu.
“Bila album sudah siap dan orang ramai tahu lagu saya, baru seronok nak buat konsert. Barulah konsert saya itu boleh punyai konsep sendiri.
“Saya tak nak buat konsert sekadar menyanyi dan kutip duit. Kalau buat konsert, objektif utama saya bukanlah buat keuntungan. Saya nak diri sendiri dan orang menonton puas hati,” katanya lagi.
Malah, penyanyi lagu Relakan Jiwa ini turut menganggap karya-karya yang kuat bukan sahaja bagus untuk konsert tetapi juga baik buat branding seseorang artis.
“Kalau tiada karya yang kuat, takut nanti konsert jadi separuh masak. Namun, itu bukanlah bermakna penyanyi itu tidak bagus.
“Sebuah lagu hanya memakan masa tiga hingga lima minit. Jadi, macam mana nak mengadap konsert selama satu atau dua jam? Kalau baru ada satu sahaja lagu, tak cukup nak cover dua jam ni.
“Pastikan dua jam itu karya sendiri. Barulah penonton dapat kepuasan. Sebagai penyanyi, saya pernah cover lagu orang dan menyanyikan lagu sendiri ketika konsert.
“Namun, saya rasa lebih puas bila menyanyikan lagu sendiri. Malah, karya saya juga tak perlu dibandingkan dengan karya-karya artis lain,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.