“Saya Tak Nak Sorok-Sorok, Meski Saya Tak Pernah Pun Sembunyikan,” – Rupanya Ini Tahun Keempat Syafiq Kyle-Mimi Lana Jalin Cinta!

Share

Pelakon Syafiq Kyle tidak bersetuju mengenai sesetengah pendapat yang membayangkan ‘saham’ atau populariti seseorang artis itu akan memulai menurun sekiranya mereka secara terbuka mengakui sudah mempunyai kekasih hati.

Malah kongsinya kepada MH, peminat juga terdiri daripada pelbagai sebab dan cara.

“Rasanya saya punya peminat datang apabila saya mempersembahkan kualiti lakonan yang baik, mungkin ada juga yang minat kerana fizikal atau mungkin kerana selepas berlaku sesuatu yang sensasi terhadap diri saya. Mungkin sebab saya pun tak pasti.

“Akan tetapi apa yang saya nampak, peminat yang masih setia dengan saya adalah mereka yang gemarkan lakonan saya. Merekalah yang yang masih ada dengan saya. Jadi pada saya mereka peminat yang berkualiti. Mereka boleh jadi peminat artis-artis lain juga,” katanya.

Pada masa sama, bintang yang kini muncul menerusi drama bersiri, Bukan Cinta Aku di samping Janna Nick, Baim Wong dan Mimi Lana turut memberitahu apa yang lebih penting adalah peminat yang mempunyai kualiti tersendiri.

“Jadi rasanya mereka pun ada kualiti tersendiri. Misalnya Datuk Seri Siti Nurhaliza. Kenapa orang kata dia nombor satu, sebab dia ada kualiti dan begitu juga dengan para peminatnya.

“Lalu apa yang saya minta mereka lakukan ialah semoga mereka hargai saya punya kerja. Tetapi dari segi mereka untuk tahu perihal kisah peribadi, rasanya saya perlu juga berikan kerjasama dengan orang yang meminati saya,” terangnya lagi.

Syafiq berkata demikian sebagai menjelaskan perihal hubungannya sama pelakon yang kian meningkat naik namanya, Mimi Lana.

“Apa pun hanya setakat itulah yang saya boleh beritahu sebab rancangan seterusnya saya tidak tahu apa yang akan jadi.

“Saya pun taknak sorok-sorok, meski saya tak pernah pun sembunyikan. Cuma tidak pernah kongsi kisah peribadi saja. Malah kebanyakan pun sudah tahu saya lebih tiga empat tahun dengan dia. Tahun ini tahun yang keempat,” jelasnya.

Terdahulu, Syafiq ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Syafiq Kyle bersama kelab peminatnya, Skylovers di Damansara pada Ahad.

Program yang turut melibatkan lebih 100 peminat termasuk dari Singapura dan Brunei itu turut diserikan dengan kejutan hari jadi yang ke-27 buat bintang Nur itu.

Foto: Instagram Syafiq Kyle/Mimi Lana

Published by
Rafiq Mazlan