Pelakon, Shasha Abedul merasakan dirinya seperti dilahirkan semula selepas memutuskan untuk berhijab sejak sebulan yang lalu.

Menurut Shasha, perasaan tersebut agak sukar digambarkan dengan kata-kata namun, hatinya kini berasa sangat tenang.

“Saya rasa seperti dilahirkan semula dan macam orang baharu. Ia perasaan yang tidak dapat digambarkan tapi rasanya sangat hebat dan saya suka.

“Saya langsung tak rasa susah. Saya minta sangat agar Allah tidak hilangkan rasa itu,” katanya kepada MH.

Shasha berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media dan tayangan perdana drama terbaharu Projek; Exit yang berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion, Kuala Lumpur pada Selasa.

Katanya lagi, dia mengambil sedikit masa untuk mula berhijab bagi mempersiapkan diri dengan ilmu agama.

Ads

“Saya ini sejenis yang kalau nak buat sesuatu, saya tak nak hanya ala kadar. Kita kena faham dahulu apa yang ingin kita lakukan.

“Jadi, saya pergi ke kelas agama untuk menambah kefahaman tentang kewajiban menutup aurat. Selain itu, saya juga sertai majlis taklim.

“Saya tak nak buat semata untuk mengharapkan pujian manusia. Saya akhirnya faham, apa yang saya lakukan ketika ini hanyalah mengikut perintah yang maha Esa,” ujarnya lagi.

Ads

Ditanya mengenai ‘turning point’ yang membuatkan hatinya terdetik untuk berhijab, ini jawab pelakon berusia 28 tahun itu;

“Perasaan itu datang sendiri dan tiada perkara pelik berlaku. Cuma pada suatu hari, saya bangun tidur dan nak memuat naik gambar di Instagram tapi rasa serba tak kena.

“Saya rasa bersalah nak memuat naik gambar tidak menutup aurat. Kata orang, mungkin hidayah itu sudah sampai.

Ads

“Bila hati terdetik nak berhijab, saya tak nak tunggu lama. Saya takut jika perasaan itu tidak akan datang lagi selepas ini,” akhirinya.

Terdahulu, Projek; Exit merupakan sebuah lagi drama terbitan Astro Originals di bawah francais ‘Projek Universe’.

Selain Shasha, drama yang mengangkat isu kesihatan mental ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Mierul Aiman, Kimberly Chuah, Nabila Huda, Naim Daniel dan ramai lagi.

Bahagian pertama siri ‘Project; Exit’ yang merangkumi episod satu hingga empat akan mula bersiaran pada 1 November ini secara sekaligus menerusi On Demand di Astro Ultra/Ulti box, Astro GO dan sooka.

Manakala bahagian yang merangkumi episod lima dan enam akan bersiaran pada 15 November di platform yang sama.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI