“Saya Tak Peduli, Saya Buat Kerja,” – Jaafar Onn ‘Dont Care’ Kecaman, Bangga Lihat Nasi Kukus Anak Melayu Pertama di Bukit Bintang

Share

Pelakon veteran Jaafar Onn terbuka untuk sama-sama berkongsi rezeki seterusnya membantu para usahawan untuk terus mencipta sukses dalam bidang perniagaan, khasnya menerusi platform media sosial.

Jaafar yang sinonim disapa sebagai Papa Jaafar berkata, meski dia kini meniti usia 72 tahun namun itu bukan halangan untuknya terus melakukan apa yang diminati.

“Kita ada cara kita menjual. Kita tolong Melayu sama Melayu tapi ikut saluran betul. Saya juga ingin bantu anak Melayu terus berjaya. Bukan wang ringgit yang saya kejar tapi saya ingin menyumbang sesuatu kepada orang ramai.

“Selain berlakon inilah antara perkembangan terbaharu saya. Benda yang kita suka buat, insyaAllah segalanya akan dipermudahkan. Saya mengalu-alukan peminat untuk sama-sama jamu selera di sini, ” katanya.

Jaafar berkata demikian ketika ditemui pada perasmian cawangan baharu Nasi Kukus Tonggek (NKT), di Lot 10, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada masa sama, Jaafar yang kini turut aktif mempromosikan restoran berkenaan di TikTok tidak peduli jika ada komen negatif yang dilemparkan terhadapnya.

“Saya tidak kekok untuk aktif dan buat ‘live’ di media sosial. Walaupun orang cakap macam-macam, saya terima seadanya. Biasalah, ada yang suka dan tidak.

“Kalau ada orang kata jangan buat ‘live’ kerana usia sudah lanjut, saya tidak peduli. Apa yang saya buat adalah kerja saya. Ia trend semasa dan rasanya tidak salah untuk saya sama-sama terlibat.

“Kalau ada orang kecam sekalipun, bagi saya, hanya satu peratus sahaja. Ada juga netizen suruh saya berehat sahaja. Namun, dalam hidup ini ada masa untuk kita berehat dan mencari duit.

“Kalau sentiasa berehat, siapa pula mahu beri kita duit untuk teruskan kelangsungan hidup? Betul tak” katanya yang turut berbangga atas perasmian cawangan NKT.   

Berkongsi mengenai kejayaan jenama NKT yang kini dibuka di Bukit Bintang, Pengarah Kukus Tonggek Group Sdn Bhd, Muhammad Nur Aiman Basuni menjadi anak Melayu pertama yang membuka restoran makanan itu di lokasi tumpuan ramai itu.

Selaras dengan slogan Nasi Kukus Tonggek, iaitu Make Nasi Kukus Great Again dan sudah mempunyai 28 cawangan seluruh Malaysia, Muhammad Nur Aiman kini memasang impian untuk melebarkan sayap perniagaan ke negara seberang.

“Semua ada impian untuk meluaskan pasaran ke luar negara. Jika ada peluang itu, kita tidak menolak.

“Hari ini, impian untuk membuka cawangan Nasi Kukus Tonggek yang betul-betul berada di lokasi tumpuan orang ramai termasuk pelancong luar negara, juga tercapai dengan bantuan Papa Jaafar Onn,” katanya.

Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut termasuk  isterinya, Siti Nabilah Mohamad Isa selain kehadiran pelakon dan pengacara terkenal, Awal Ashaari sebagai tanda sokongan.

Pada program sama, NKT Group M Sdn Bhd turut melancarkan Sambal Tonggek, dengan wajah Papa Jaafar pada produk pembungkusan, dan boleh didapati di semua platform atas talian.

Sambal Tonggek mudah dibawa ketika melancong ke mana-mana kerana pek kecil mesra poket, malah kandungan belacannya adalah ramuan khas yang hanya terdapat di kilang belacan Indonesia.

Muhammad Nur Aiman juga menambah dengan bantuan Papa Jaafar, Nasi Kukus Tonggek kini mempunyai lebih 134,000 pengikut di TikTok disusuli hampir 3 juta tanda suka.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH