Personaliti media sosial, Maryam You Narae memaklumkan dirinya tidak perlu membuat keputusan terlalu lama untuk menghentikan sebarang bentuk kerjasama dengan jenama pro-Israel.
Menurut Maryam, dia dan suami, Ryzal Ibrahim mempunyai pandangan yang sama dan mereka juga mahu menggunakan pengaruh mereka untuk memberikan tekanan.
“Saya dan Ryzal memang ada buat perbincangan tapi dalam isu ini, kami tak perlu nak berfikir panjang pun.
“Semua orang tahu mengenai apa yang berlaku di Palestin dan pandangan saya dan Ryzal adalah sama.
“Kami mula memboikot sejak penghujung tahun 2023. Saya dan Ryzal pun sudah membuat syarat terbaharu.
“Apa sahaja kempen yang kami terima, kami akan periksa dahulu sama ada jenama tersebut menyokong Israel atau tidak,” katanya kepada MH.
Maryam berkata sedemikian ketika ditemui majlis pelancaran produk kecantikan jenama L.SOULLE yang berlangsung di Sunway Velocity Mall, pada Sabtu.
Mengulas mengenai beberapa hantaran bersama jenama pro-Israel yang masih dikongsikan di media sosial sebelum ini, Maryam menjelaskan ia merupakan baki akhir kontrak sebelum menamatkan kerjasama.
“Saya akui memang ada memuat naik hantaran di media sosial bersama jenama pro-Israel tapi kempen tersebut telah dipersetujui setahun yang lepas dan sebelum kami membuat peraturan baharu itu.
“Ada juga penggambaran yang diadakan pada tahun lepas tapi baru sekarang posting tersebut harus dimuat naik. Kami perlu mengikut prosedur.
“Jadi, saya perlu selesaikan dahulu kerja-kerja tersebut,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, pelakon filem Mat Tudung Begins ini juga menegaskan dirinya sudah lama menyatakan sokongan terhadap Palestin namun, dia juga tidak mahu usahanya dia disalah tafsir.
“Sejujurnya kini saya sudah menolak banyak jenama pro-Israel yang ingin bekerjasama. Saya memang sentiasa ingin menunjukkan sokongan terhadap Palestin.
“Ketika menunaikan umrah, saya membuat tawaf dua kali dan memanjatkan doa buat Palestin. Namun, tak perlulah saya menunjuk. Saya lebih suka melakukannya dengan ikhlas
“Allah tahu niat saya. Tak perlulah orang lain tahu,” akhirinya.
Terdahulu, Maryam hadir ke majlis perlancaran produk kecantikan L.SOULLE sebagai tanda sokongan terhadap produk asal Korea Selatan itu.
Menurut Maryam dia amat menyukakan produk-produk keluaran L.SOULLE yang mempunyai sijil halal dan mesra bayi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.