Usahawan kosmetik dari Pulau Pinang, Cheta Pot Pet yang turut terbabit menerusi sepotong video kontroversi bersama beberapa usahawan selebriti lain sudah dipanggil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai, di Pulau Pinang, kelmarin.
Cheta atau nama sebenarnya Rozita Bahrom, 35, berkata, dia memberi kerjasama sepenuhnya susulan video di media sosial yang tular hingga mencetuskan kritikan ramai.
Selain Cheta, SKMM dengan kerjasama PDRM menjalankan pemeriksaan bagi tujuan siasatan terhadap ketiga-tiga individu lain yang terbabit iaitu Ifa Raziah, Kak KM dan Datuk Seri Vida di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Memetik Harian Metro, Cheta yang pernah muncul dengan single Aku Yang Kau Mahu menjelaskan, apa yang berlaku memberikan impak besar kepada dirinya.
“Saya tidak pernah ada pengalaman begini. Ini pertama kali berlaku terhadap saya. Disebabkan saya menjadi penaja, jadi kena bergaul dengan mereka. Ini bukan tujuan pemasaran. Perkara sama saya cakap di balai.
“Perkara ini memberikan impak besar. Ia sangat mengejutkan pada saya termasuk mental dan fizikal. Saya pun sudah membuat permohonan maaf lebih awal. Saya nak bersihkan nama saya,” katanya seperti yang dipetik.
Cheta pada masa sama mengakui sepanjang menjalankan perniagaan, dia tidak pernah terpalit dengan isu sensasi.
“Pada hari kejadian itu kali pertama saya ‘shoot’ dengan mereka. Video pun ada banyak ‘angle’. Kalau tengok video saya sebelum ini, tak pernah ada video aksi keterlaluan dan baju mencolok mata. Bila timbul isu ini, saya pun disiasat sama sebab ada dalam video berkenaan. Itu yang jadi terkejut.
“Disebabkan itu saya membatalkan pembabitan saya pada Minggu Usahawan Negara 2022 di Malaysian Grand Bazaar@Lalaport BBC yang bakal berlangsung pada 24 hingga 27 Jun ini. Saya nak bersihkan nama,” katanya lagi.
Terdahulu, media melaporkan SKMM dalam satu kenyataan membuat siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu (1) tahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
“Sehubungan itu, orang ramai khususnya selebriti yang mempunyai pengaruh di dalam masyarakat seharusnya menunjukkan teladan yang baik dan peka untuk tidak memuat naik kandungan yang bertentangan dengan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
Sumber: Harian Metro