“Saya Tak Pernah Meninggikan & Merendahkan Diri Saya,” – Ramai Muka Baru Di Kaca TV, Syafiq Kyle Jawab Soal Populariti

Share

Pelakon, Syafiq Kyle mendedahkan dia tidak pernah meletakkan soal populariti sebagai keutamaan, lebih-lebih lagi ketika industri seni tanah kini dipenuhi dengan bakat baru.

Jelas Syafiq, buat masa ini dia hanya mahu fokus terhadap pembangunan kerjayanya dan pada masa sama dia amat mengalu-alukan kehadiran bintang-bintang pelapis.

“Saya rasa kerjaya saya biasa-biasa sahaja dari dulu sampai sekarang. Pengenai soal jatuh bangun itu ia bergantung kepada penerimaan masing-masing.

“Saya tetap melakukan tugas saya sebaik mungkin. Mengenai pendatang baru, ebanyakan daripada mereka hebat belaka, juga berkualiti. Saya tak nafikan pendatang baru ketika ini memang ramai. Saya mengalu-alukan kedatangan mereka.

“Saya juga mengharapkan sebuah persaingan yang sihat dan kita semua dapat memberikan lebih banyak buah fikiran sebagai bahan rujukan,” katanya kepada MH.

Bintang kelahiran program Hero Remaja 2011/12 itu berkata sedemikian ketika ditemui di sidang media drama terbaru lakoannya, Suara Hati yang berlangsung secara vurtual pada Rabu.

Dalam pada itu, Syafiq turut berharap agar mereka dapat memanfaatkan segala peluang dan ruang untuk menimba ilmu setiap kali bertemu dengan pelakon-pelakon yang lebih berpengalaman.

“Pada masa sama, mereja juga perlu menjadikan artis berpengalaman ini sebagai tempat rujukan mereka. Kita juga boleh belajar sesuatu daripada mereka. Yang penting kita kena beri tunjuk ajar terutamanya menerusi mutu lakonan kita.

“Walaupun zaman kegemilangan seseorang itu dah berakhir, tak bermakna karier mereka juga berakhir. Mereka sebenarnya ada tugas untuk memberi pengajaran buat para pendatang baru ini sama ada dari segi disiplin, sikap dan juga ilmu lakonan,” jelasnya lagi.

Percayakan rezeki, Syafiq turut mendedahkan dirinya bersyukur dengan segala nikmat yang telah dilimpahkan kepadanya selama ini.

“Bagi saya soal populariti ini pula, itu semua hanyalah bonus. Saya tak pernah menaikkan atau merendahkan diri saya. Saya percaya kepada rezeki.

“Selagi saya ada peluang untuk memilih pekerjaan dan watak yang saya bawakan, selagi itu saya akan buat dengan baik. Saya dahagakan untuk mencuba sesuatu yang baru.

“Saya nak bergandingan dengan lebih ramai pelakon yang berbakat besar. Pada waktu ini, saya dah tak terlalu memikirkan mengenai soal populariti atau zaman kegemilangan.

“Sebaliknya saya mahu memberi fokus terhadap karya-karya serta produk yang akan saya keluarkan setiap kali muncul di kaca televisyen ataupun layar perak.

“Peranan dan fungsi saya sebagai salah seorang ahli industri lagi penting daripada memikirkan mengenai apa yang saya ada atau tiada. Kita kena terima hakikat setiap yang datang pasti akan pergi juga,” katanya.

Dalam pada itu, drama Suara Hati bakal bersiaran menerusi slot Tiara secara eksklusif pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang mulai 19 Julai 2021 di saluran Astro Prima (105).

Malah, ia juga turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Selain Syafiq, drama ini turut dibintangi pelakon lain seperti Hanna Aqeela, Aidil Aziz, Fazlina Ahmad Daud dan YM Dato’ Sri Rezza Shah.

Dalam perkembangan lain, Media Hiburan kini sedang menganjurkan pertandingan menarik bersempena dengan MCO 3.0 ini, siapa tahu rezeki akan jadi milik anda.

Pertandingan nyanyian ‘Karok Lockdown’ khas buat anda yang mahu ketengahkan bakat menyanyi, kalau bertuah ganjaran wang tunai menanti!

Apa yang anda perlu buat? Klik saja link DI SINI untuk mendaftar sekarang. Mana tau korang pemenang yang kami cari, all the best!

Published by
Aizam Manaf