Peserta Big Stage 5 (BS5), Isaac Voo meminta para peminatnya agar menerima keputusan penyingkirannya pada minggu kedua program itu bersiaran.
Menjadi peserta pertama tersingkir, Isaac berkata dia menerima keputusan pihak juri dengan hati yang terbuka malah turut meminta peminat agar tidak ‘menyerang’ rakan seperjuangannya, Naufal Azrin yang diselamatkan pihak juri dengan mengguna kuasa Immuniti-X.
“Saya percaya mesti ada sebab kenapa juri memilih saya (untuk disingkirkan) dan saya menerima keputusan ini (dengan baik).
“Saya tidak pernah terasa dengan komen Abang Ajai sebab saya terima apa yang dia komen tentang saya dengan hati terbuka.
“Saya join Big Stage sebab saya mahu dengar feedback yang mana saya boleh perbaiki diri lagi. Walaupun saya tersingkir tapi tak perlu serang sesiapa,” katanya kepada MH.
Nama Isaac diumumkan tersingkir selepas dua juri tetap, Ajai dan Aina Abdul membuat keputusan tersebut demi menyelamatkan Naufal yang sepatutnya terkeluar berdasarkan undian juri serta peminat yang tidak menyebelahi dirinya.
Immuniti-X merupakan kuasa yang diberikan kepada juri untuk menyelamatkan mana-mana peserta yang mereka rasa tidak sepatutnya keluar pada minggu tersebut bagi memberi peluang untuk mereka membuat persembahan lagi di minggu akan datang.
Walaupun menerima keputusan dengan hati terbuka, namun Isaac mengakui ada berasa sedikit sedih kerana tidak dapat menunjukkan lagi bakat serta kreativiti yang boleh dilakukannya kepada orang ramai.
“Sejujurnya saya ada rasa sedikit sayang (sedih) sebab masa rehearsal memang saya tiada suara dan hari ini (Ahad) saya rasa tidak dapat buat yang terbaik.
“Saya rasa boleh buat lebih baik untuk next time sekiranya tidak disingkirkan.
Selain itu, saya sedikit sedih untuk peminat sebab mereka selalu undi saya tapi tidak mengapa.. ini bukan pengakhiran. Mana tahu, di masa akan datang nama saya boleh jadi besar (dalam industri), kita tidak tahu kan.
“Saya harap peminat tidak sedih sebab setiap perjalanan itu ada turun naiknya jadi kita kena terus berusaha sahaja,” katanya lagi.
Menerusi konsert minggu kedua, Isaac yang menyanyikan lagu Terhangat Di Pasaran dendangan asal KRU dan Adam menerima kutipan markah paling rendah daripada dua juri tetap dan juri undangan iaitu penyanyi Indonesia, Andmesh Kamaleng.
BS5 menampilkan 10 finalis dari Malaysia yang bakal bersaing merebut gelaran juara termasuk Aufahanie, kumpulan COEX, Nadeera Zaini dan Puteri Khareeza.
Enam bintang lelaki pula adalah Isaac Voo, Firdaus Rahmat, Meer Nash, Naufal Azrin, Putera Muhammad dan duo Dem Lepak Boyz.
Tiga peserta lain dari Indonesia diwakili oleh Waode, Farhan Shah dari Singapura dan duo Hoondoo dari Korea Selatan.
Pertandingan diadakan di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan BS5 disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (104), Ria HD (123) pada setiap Ahad, pukul 9 malam.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI