Hiburan

“Saya Tak Simpan Perasaan,” – Ada Peminat Artis Tak Puas Hati Pasal Markah? Zizan Razak Belum Serik Jadi Juri

Share

Pelakon Zizan Razak mendedahkan dirinya pernah menjadi mangsa buli siber dan yang terbaharu ketika menjadi juri tetap di program The Hardest Singing Show (THSS).

Menurut Zizan, ada segelintir peminat artis yang kurang bersetuju dengan cara penjurian sehingga melontarkan kata-kata negatif dan kritikan di media sosial.

“Ketika menjadi juri, saya juga ada mendapat kritikan. Kadang kala, ada sesetengah penyokong yang kecewa kerana artis kesayangan mereka tersingkir atau tidak setuju dengan pemarkahan.

“Namun, bila pihak juri membuat keputusan, ia bukan keputusan saya seorang. Ia keputusan sebulat suara.

“Mungkin saya beri markah tinggi tapi juri lain bagi markah rendah. Begitu juga sebaliknya. Bila dicampurkan kesemua markah, rezeki tidak memihak artis tersebut,” katanya kepada MH.

Pelakon filem Polis Evo itu berkata sedemikian ketika di temui di forum ‘The Actor’s Chair’ yang berlangsung di GSC Mytown, Cheras pada Selasa.

Pada masa sama, Zizan juga menyifatkan rezeki juga memainkan peranan yang sangat penting ketika menyertai sesebuah pertandingan.

“Pemarkahan ini sangat subjektif. Saya juga pernah masuk pertandingan dan merasai pengalaman tersingkir serta tak dapat markah tinggi.

“Pada saya, kalau kita asyik fikir soal penjurian bila bertanding, fokus kita memang untuk memenangi hati juri sahaja.

“Padahal, kalau kita fikir sebaiknya, sebelum ada pihak juri, Allah sudah pun menentukan segala hal. Segalanya berlaku dengan izin-Nya.

“Kalau Allah tidak izinkan juri itu beri markah rendah, ia tetap tidak akan berlaku. Begitu juga sebaliknya. Kita kena percaya hidup ini merupakan ketentuan Illahi. Kalau kita ada pemikiran seperti ini, kita akan mudah terima sebarang keputusan,” ujarnya lagi.

Ditanya sama ada dia sudah menjadi juri oada masa akan datang, ini respon Zizan;

“Saya tidaklah sampai ke tahap serik. Saya okay sahaja.

“Saya juga nak rasa bertanggungjawab di dalam industri ini untuk melahirkan orang-orang yang hebat dan bagus berdasarkan pengamatan pandangan mata saya,” ulasnya lagi.

Pada masa sama, Zizan memaklumkan dirinya tidak mengambil hati dengan segala komen-komen negatif tersebut sebaliknya memanfaatkan situasi itu untuk memperbaiki kelemahan diri.

“Saya ini sejenis orang tidak menyimpan perasaan. Saya hanya baca komen untuk menambah baik kerjaya saya.

“Kadang kala ada perkara yang saya buat tidak betul. Saya harus belajar juga daripada kesilapan.

“Sebagai pelawak atau pelakon, ada kalanya saya syok sendiri dan rasa diri bagus. Bila kena komen, saya akan lihat semula tindakkan saya dan ambil maklum.

“Bila saya tak melayan komen-komen negatif di media sosial, mereka pun tak boleh buat apa-apa dan senyap begitu sahaja,” akhirinya.

Terdahulu, ‘The Actor’s Chair’ merupakan salah satu program yang berlangsung sepanjang penganjuran Festival Filem Antarabangsa Malaysia ke-7.

Malah, Zizan juga bertindak selaku juri untuk menilai filem-filem terpilih daripada dalam dan luar negara.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf