Selepas terpalit kontroversi susulan klip video klip lagu duet Baby Sayang bersama Baby Shima yang dianggap keterlaluan, usahawan sensasi Datuk Aliff Syukri Kamarzaman, 35, akhirnya tampil membuat permohonan maaf.
Menurut Aliff, apa yang berlaku selama ini adalah kesalahan dirinya sendiri kerana menyanyi merupakan hobinya yang dibuat untuk tujuan secara suka-suka dan hiburan semata-mata.
Biarpun menerima kecaman berhubung taktik pemasaran yang digunakan, Aliff bagaimanapun menjelaskan, video klip lagu tersebut langsung tidak memaparkan dirinya bersentuhan dengan Baby Shima.
“Saya nak minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia sekiranya ada kelakuan saya tak kisahlah mengenai apa jua, lagu ke apa.
“Saya sangat-sangat mohon maaf terutama kepada mak saya, isteri dan keluarga. Sebab ini kesalahan daripada saya. Saya buat benda ini sebagai hobi. Saya buat benda ini hanya kongsi dalam media saya untuk suka-suka,” katanya dalam video dimuat naik dalam laman Instagram miliknya.
Tambah usahawan itu lagi, memang menjadi impiannya sejak dahulu untuk bergelar penyanyi tetapi kehadirannya dalam industri bukanlah untuk bersaing dengan mana-mana artis lain.
“Saya tak suka bergaduh, saya suka kebaikan. Jujurnya saya sendiri tak pasti kenapa orang suka kecam saya. Apa salah saya awak?
“Saya juga tidak pernah marah atau bergaduh dengan mana-mana pihak,” luahnya.
Terdahulu, Aliff dan Baby Shima dikecam kerana didakwa menari agak keterlaluan dalam muzik video lagu Baby Sayang.
Sejak ia mula dilancarkan pada minggu lalu, muzik video single tersebut menjadi trending di laman perkongsian video YouTube.
Foto: Instagram Aliff Syukri