Hiburan

“Saya Tak Suka Orang Biadap,” -‘Menganjing’ Nama Arwah Bapa Anna Jobling, Amir Ahnaf Terpaksa Sound Netizen

Share

Baru-baru ini, tular sepotong klip di media sosial yang memaparkan tindakan pelakon, Amir Ahnaf yang dikatakan sedang memarahi seorang netizen ketika sesi siaran langsung di aplikasi Tik Tok.

Mengulas mengenai insiden tersebut, Amir memaklum dia terpaksa berbuat sedemikian kerana tindakan netizen itu dikatakan agak keterlaluan.

Menurut Amir, individu tersebut yang juga merupakan kanak-kanak itu dikatakan telah mempersenda nama bapa kepada pelakon, Anna Jobling, Allahyarham Abdul Rahman Jobling Abdullah yang baru sahaja meninggal dunia pada September lalu.

“Bapa Anna Jobling baru sahaja meninggal dunia. Kemudian, ada sorang kanak-kanak menganjing pula nama arwah. Saya terkejut dan marah.

“Bila saya lihat akaun, rupanya seorang budak. Dia sangat muda. Kenapa bergurau sampai begitu.

“Saya tak suka orang yang biadap. Namun, bila kita biarkan, orang lain pula makin melampau. Paling menyedihkan perkara tersebut datang daripada seorang budak

“Sebolehnya saya tidak mahu menunjukkan sisi yang tak baik atau mengeluarkan kata-kata kesat,” katanya kepada MH.

Pemenang anugerah BBNU Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular BH ke-35 itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media drama Gamers Mangkuk baru-baru ini.

Katanya lagi, dia terpaksa memberikan teguran sedemikian bagi menjelaskan tindakan tersebut adalah satu perbuatan yang salah.

“Saya rasa itu tanggungjawab saya untuk menegur walaupun kedengaran agak kasar. Budak-budak sekarang mungkin sudah terbiasa bergurau begitu.

“Kalau nak masuk ke dalam sesi siaran langsung saya, jangan berperangai macam tu,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, Amir turut memaklumkan dirinya akur sekiranya tindakannya itu menimbulkan rasa kurang senang segelintir pihak.

“Saya sudah bersedia jika ada yang sokong atau tidak dengan tindakan saya itu. Memang itu lumrah di dalam dunia selebriti ini.

“Saya terbuka untuk menerima sebarang komen. Setiap orang mempunyai perspektif dan cara penerimaan sendiri,” akhirinya.

Terdahulu, Amir bakal muncul menerusi drama terbaharu yang berjudul Gamers Mangkuk.

Drama arahan pengarah, Hyrul Anuar itu meneroka perjalanan lima anak muda yang berjuang untuk melepasi pertarungan e-sukan terkemuka Mobile Legends: Bang Bang.

Selain Amir, drama ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Taufik Izmir, Nick Davis, Sara Mack Lubis dan Sathisvaran.

Gamers Mangkuk bakal ditayangkan di slot Astro Originals, menerusi Astro Premiere (Saluran 410) pukul 9 malam atau menyaksikan secara awal bermula 12 tengah malam menerusi platform On Demand dan Astro GO.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf