Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah tidak mahu ambil tahu mengenai perbicaraan kes khalwat melibatkan bekas suaminya, Aliff Aziz dan aktres, Ruhainies di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, pagi tadi.
Menurut Bella atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, tiada keperluan baginya untuk ambil tahu memandangkan dia dan Aliff sudah tiada apa-apa hubungan.
“Dia sudah tak ada apa-apa ikatan, tiada hubungan dengan saya. Jadi apa sahaja yang dia orang nak pergi atau tidak ke.
“Sama ada dipanggil (pihak mahkamah) atau sebaliknya ke, saya tak tahu dan tak ambil tahu. Ini kerana kita sekarang ni tengah menjalani hidup masing-masing,” katanya.
Ibu kepada dua cahaya mata ini menambah, fokusnya kini adalah untuk membesarkan anak-anak selain beri tumpuan terhadap kerjaya.
“Apa pun buat masa sekarang saya hanya nak beri fokus kepada anak-anak dan nak mencari rezeki sahaja,” katanya lagi.
Imbas kembali, Bella sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Aliff pada 9 September 2016 lalu.