Sebagai seorang jiran yang mengenali rapat pelakon Sharnaaz Ahmad, pengacara dan pelakon, Dayah Bakar tampil mempertahankan aktor tersebut yang sebelum ini didakwa terlibat dalam satu insiden di sebuah kondominium di Segambut, Kuala Lumpur, dua minggu lalu.
Menerusi perkongsian di laman Instagramnya, Dayah menjelaskan dia mengetahui perkara sebenar yang berlaku dan berharap kebenaran akan terungkap nanti.
“Penjelasan ringkas supaya tak speculate macam-macam. Kami tahu apa yang jadi but it’s best jika statement datang daripada Sharnaaz sendiri.
“Untuk makluman semua, Sharnaaz jiran yang baik. May the truth prevail dan semoga dipermudahkan,” tulis Dayah.
Ibu kepada seorang cahaya mata ini juga berkata, dia menyebelahi pelakon terkenal itu memandangkan lebih mengetahui peribadi luar dalam Sharnaaz yang sudah dikenalinya sejak beberapa tahun lalu.
“Saya #TeamMamu, jiran kami, jiran baik! Jangan macam-macam!” tulis Dayah lagi.
Pada Isnin lalu, Sharnaaz tampil memberikan penjelasan berhubung insiden melibatkan dirinya itu namun menafikan laporan yang mendakwa dia telah melakukan jenayah kekerasan terhadap pengadu.
Sebaliknya, Sharnaaz berkata dia tampil sebagai saksi memberikan kerjasama kepada pihak polis sepanjang tiga hari tempoh reman yang dikenakan terhadapnya.
“Demi Allah, saya tidak menumbuk, memijak, menendang perut dan mencekik (mangsa). Itu benda karut, saya tak buat.
“Siasatan dah lengkap, dah hantar pada Timbalan Pendakwa Raya. Kalau boleh saya tak nak panjang-panjangkan cerita.
“InsyaAllah… Kita tengok jalan yang terbaik untuk kedua-dua belah pihak. Sebab benda yang berlaku ni bukannya kita minta. Tapi bila dah jadi, kita kena terima dengan hati yang terbuka,” katanya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Foto: Instagram Dayah Bakar