“Saya Tengok Dia Tidur Telangkup, Kejut Tapi Rak Ada Respon,” – Al-Fatihah, Suami Anita Baharom Meninggal Dunia Ketika Tidur

Share

Khabar duka menimpa pelakon, Anita Baharom selepas suaminya, Ismadi Ismail, 50, disahkan meninggal dunia di kediaman mereka di Bandar Nusa Rhu, Shah Alam, jam 8 pagi, hari ini.

Berita mengejutkan itu dikongsikan sendiri oleh Anita menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di laman Instagram.

Bagaimanapun, memetik laporan Harian Metro, Anita memaklumkan dia menyedari mengenai perkara tersebut selepas suaminya dikatakan tertidur dan tidak memberikan respons apabila cuba dikejut.

“Pagi tadi, lebih kurang jam 8 pagi, saya bersiap-siap untuk ke masjid sebab ada pembentangan untuk program masjid berhampiran rumah sepanjang 2022.

“Saya ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan suami bantu saya untuk siapkan bahan pembentangan. Pagi tadi, dia cakap nak hantar saya ke rumah kawan yang juga AJK masjid. Sementara menunggu saya siap, dia terlelap sekejap di ruang tamu.

“Saya tengok dia tidur telangkup. Saya kejut tapi tak ada respon. Senyap, tak bergerak langsung. Saya tolak-tolak badan dia dan bila pegang tangan dia, dah rasa sejuk dah,” katanya seperti yang dipetik.

Ibu kepada tiga orang cahaya mata ini turut menambah, suaminya itu tidak mempunyai sebarang penyakit kronik malah dia juga merupakan yang amat mementingkan mengenai soal kesihatan.

“Dia ada sakit kencing manis, tapi dia benar-benar menjaga kesihatannya. Sebelum ini pun, dia dalam keadaan baik dan boleh bekerja. Antara acara yang membabitkannya baru-baru ini adalah Konsert A Night With Aina Abdul.

“Tadi, pihak hospital dah datang ke rumah untuk mengesahkan kematiannya,” katanya lagi.

Sementara itu, Anita turut memberitahu, suaminya itu ada kalanya suka bergurau mengenai soal kematian dan dia juga sering merasakan dirinya akan pergi dahulu sebelum isterinya.

“Dia selalu bergurau mengenai kematian. Katanya, dia akan pergi dulu. Dia pesan juga kalau dia meninggal dunia, kebumikan di kawasan tempat dia meninggal dunia.

“Jadi, kalau tak ada aral melintang, semuanya akan diuruskan di rumah atau masjid,” ujarnya lagi.

Menerusi hantaran terkini di ruangan Instagram stories, Anita memaklumkan jenazah suaminya itu kini berasa di Masjid Ar-Raudhah, Puncak Perdana dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Meru, Klang.

Ismadi meninggalkan Anita bersama tiga cahaya mata mereka, Syifa Dhia Nurina, Mohamad Dhia Iskandar dan Mohamad Dhia Iskandar.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber: Harian Metro & Instagram Anita Baharom

Published by
Aizam Manaf