“Saya Tengok Proses Pembelajaran Berbeza,” – Didik Agar Seronok Belajar & ‘Tak Takut’ Subjek Matematik, Anak Memey Suhaiza Pun Dah Cuba!

Share

ALFA And Friends sudah lebih 20 tahun berada di dalam industri pendidikan awal kanak-kanak khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Pusat ilmiah ini juga telah menerima pelbagai anugerah, antaranya Program E-Learning Terbaik di Asia Pacific ICT Award 2015 dan sekaligus mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa.

Namun di sebalik kejayaan ini, pusat berkenaan mendapati masih ramai anak-anak di Malaysia lemah dalam subjek Matematik.

Justeru, pihaknya terpanggil untuk menggalas tanggungjawab ini dengan mewujudkan ALFA And Friends Maths dalam usaha membantu lebih ramai anak-anak Malaysia cekap mengira dan bersedia untuk melangkah ke sekolah rendah.

“Seperti yang diketahui, Matematik merupakan subjek teras yang sangat penting. Namun acapkali kita mendengar keluhan anak mengenai subjek ini. Susah dan tidak faham antara alasan yang seringkali didengari dan ada juga yang seakan trauma.

“Ramai ibu bapa risau apabila melihat prestasi anak dalam mata pelajaran itu semakin merosot terutama sejak bermulanya pandemik COVID-19. Ibu bapa mulai sedar terdapat banyak cabaran dalam membantu anak dalam menguasai subjek matematik.

“Ia termasuk isu jurang generasi  iaitu perbezaan konsep, cara dan teknik menjawab zaman ketika mereka belajar sangat berbeza dengan zaman kini. Ia sekali gus  menyebabkan ibu bapa kecewa kerana tidak dapat membantu anak,” kata Ho Teh Eng selaku pengasas pusat berkenaan.

Kata Ho lagi, di sekolah, anak-anak diajar dengan pelbagai konsep tetapi tidak dapat dikuasai dengan baik kerana diperkenalkan dengan pelbagai kaedah tetapi tidak diajar secara mendalam.

“Ini membuatkan mereka lebih cenderung untuk menghafal bagi menyelesaikan soalan Matematik.  Kaedah menghafal mungkin berkesan untuk tempoh masa yang singkat. Namun, apabila soalan menjadi lebih mencabar, mereka yang hanya menghafal ini tidak mampu untuk menyelesaikan soalan subjek itu dan seterusnya menyebabkan mereka hilang minat untuk belajar.

“Hal ini kerana, menghafal bukanlah satu kaedah yang efisien dalam pembelajaran lebih-lebih lagi untuk anak kecil. 

Trauma terhadap subjek itu di peringkat awal pembelajaran memberi kesan jangka masa panjang kepada mereka.

“Hal ini berlaku kerana mereka dipaksa melakukan latih tubi yang melampau tanpa kaedah pembelajaran yang bersesuain dengan umur mereka. Sudah menjadi lumrah, apabila nak anak pandai Matematik, mereka akan disuruh buat latihan yang banyak, hafal sifir, malah ada yang lebih ekstrim, tak hafal kena denda. Perkara sebegini mewujudkan perasaan benci dan mereka buat kerana takut hingga trauma,” katanya.

Tambah Ho lagi, apa yang terjadi kini, golongan anak tidak memahami konsep Matematik dan lebih cenderung untuk menghafal cara penyelesaian masalah.

“Perkara ini menyebabkan mereka tidak dapat berfikir secara kritis dan kreatif untuk menyelesaikan soalan. Anak-anak akan hilang minat terhadap subjek itu apabila mereka gagal memahami konsep dan tidak yakin dengan pengiraan dibuat.

“Jika ibu bapa mahu menanam minat mereka terhadap subjek itu, ia perlu mula dari awal. Kini, terdapat pelbagai pilihan program Matematik yang bersesuaian mengikut perkembangan umur anak-anak. Penting untuk ibu bapa membuat pilihan program yang tepat,” katanya.

Ho turut menambah, ALFA And Friend Maths merupakan sebuah program yang memenuhi keperluan pembelajaran si kecil dari usia empat hingga sembilan tahun.

Sementara itu, bagi pelakon yang juga ibu, Memey Suhaiza berpendapat bahawa teknik pemahaman Matematik yang betul untuk kanak-kanak bukan lah sekadar menghafal dan latihan yang banyak.

“Apabila anak saya dah mula sertai kelas program ini, memang saya ikuti. Saya tengok proses pembelajaran berbeza. Ia aktiviti yang membuatkan anak kita seronok untuk mengira,” kata Memey.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH