“Saya Terharu Apabila Ustaz Memberitahu Dia Juga Pendengar Suria, Suria Cinta Khasnya,” – DJ Lin

Share

Penyampai radio, DJ Lin meluahkan rasa terharu apabila didekati seorang individu yang lengkap berjubah putih dan berkopiah seterusnya mengakui dia antara pendengar stesen Suria FM dan segmen Suria Cinta, baru-baru ini.

Menurut DJ Lin atau nama sebenarnya, Roslinda Abd Majid, dia yang menerima dedikasi tersebut menyifatkan itu sebagai satu penghargaan kerana radio berkenaan menjadi pilihan segenap status masyarakat.

“Saya terharu apabila Ustaz memberitahu dia juga pendengar Suria dan Suria Cinta khasnya sebaik saya menyapa mereka yang menegur saya.

“Bagi saya, mewakili Suria FM ini satu penghargaan buat kami kerana mendapat sokongan semua lapisan masyarakat sebagai pendengar setia. Syukur alhamdulillah,” katanya terharu.

DJ Lin yang juga Pengurus Besar stesen radio berkenaan menambah, sokongan yang diterima  membuatkan warganya terus bersemangat untuk memberikan yang terbaik.

“Di pihak kami, insyaAllah kita akan terus berusaha memastikan info dan lagu yang disajikan kepada pendengar memberikan manfaat selain memutarkan lagu.

“Tanpa pendengar kita tidak boleh berada pada tahap sekarang. Cukup berterima kasih,” katanya lagi.

Terdahulu, lelaki tempatan dalam lingkungan 50-an singgah di lokasi sama petugas stesen radio itu menikmati hidangan di Tanjung Bendahara, Alor Setar, Kedah lalu bertegur sapa.

DJ Lin dan Suria FM berada di Alor Setar sempena Jelajah 90 Suria Memang Cantik Kak Ell edisi Utara yang diadakan di Aman Sentral.

Hampir 5,000 pengunjung hadir menyaksikan persembahan gandingan artis 90-an seperti Alim Kris, Rahmad Mega, Safura, Poey termasuk barisan artis muda termasuk Haqiem Rusli, Tajul, Afieq Shazwan dan Dolla.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH