“Saya Terima Bimbingan Yang Anda Berikan,” – Syamimia Mohon Maaf Lagi & Patung David Dah Dilupuskan

Share

Selepas dikritik hebat netizen kerana enggan menunjukkan solodariti buat mangsa perang di Palestin secara terbuka di media sosial, pempengaruh, Syamimia akhirnya tampil membuat permohonan maaf.

Pada masa sama, permohonan maaf tersebut juga dibuat selepas Syamimia mengakui kesilapannya kerana menyimpan patung David sebagai perhiasan rumahnya.

Menurut Syamimia, isu ini telah telah mematangkan dan mengajarnya untuk menjadi lebih peka terhadap isu yang berlaku di sekelilingnya.

“Dengan rendah hati, saya Syamimia ingin sekali lagi memohon maaf kepada semua di atas kekurangan saya selama ini.

“Isu Palestine dan ukiran patung David telah mengajar saya untuk menjadi seseorang yang lebih peka pada
isu semasa dan ini merupakan pengajaran terbesar dalam hidup saya.

“Saya bersama Palestine dan patung tersebut telah dilupuskan,” tulisnya.

Permohonan maaf tersebut dibuat menerusi satu kenyataan yang dikongsikan di laman Instagram miliknya.

Katanya lagi, isu ini juga secara tidak langsung telah membuka ruang buat dirinya untuk belajar daripada kesilapan.

“Saya bersyukur menerima bimbingan yang anda berikan dan saya mengaku bersalah kerana tidak prihatin tentang isu ini.

“Saya akui saya masih muda dan buat kesilapan. Kekurangan ini menjadi iktibar untuk saya perbaiki diri di masa hadapan.

“Sekali lagi saya ikhlas mohon maaf membuat anda berkecil hati dengan tindakan saya dan saya tiada niat untuk melukai sesiapa,” kongsinya lagi.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji tindakan Syamimia yang merendah diri dan mengakui kesilapannya.

“Semoga yang baik-baik sahaja untuk awak.

“Minta maaf juga bagi pihak netizen yang suka mencemuh. Sesungguhnya kita juga tak sempurna.

“Mengakui kesilapan dan memohon maaf adalah satu perbuatan yang mulia. Tahniah adik. Yang mengata dan mencaci tu, dah minta maaf ke?

“Allah sayang, Allah uji. Untuk kita menjadi insan yang lebih baik dan taat kepadanya,” antara komen-komen netizen di Instagram.

Terdahulu, selepas dikecam hebat netizen, Syamimia dikatakan telah kehilangan hampir 500,000 pengikutnya di aplikasi Tik Tok.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Instagram Syamimia

Published by
Aizam Manaf