Pelakon, Myra Natasha mendedahkan dirinya telah dimasukkan ke hospital disebabkan keresahan dan kesedihan melampau dipercayai akibat kemelut bersama bapanya yang juga penyampai radio, Halim Othman sebelum ini.
Pada Mei lalu, Myra mengejutkan ramai pihak selepas mendedahkan Halim dan ibunya tidak pernah berkahwin.
Malah, dia juga berang dengan tindakan Halim yang dikatakan telah menukar butirannya di sijil kelahiran.
Jelas Myra atau nama sebenarnya, Yusmyra Nastasya Abdullah, selepas pendedahan tersebut, dia telah dikecam hebat netizen terutamanya di media sosial.
“Apa yang terjadi pada tahun ini, ia sangat menakutkan. Sewaktu saya berjumpa dengan pihak media untuk bercerita fasal konflik ini, saya teruk dikecam.
“Saya juga menerima mesej langsung (DM) yang sangat menyakitkan. Malah, ada pihak yang buat video di Tik Tok hanya untuk bercakap mengenai hal saya.
“Ia melukakan hati saya walaupun pada luaran saya nampak kuat.
“Saya telah dimasukkan ke hospital kerana mengalami keresahan dan kesedihan yang agak berat. Saya dirawat selama lapan hari,” katanya kepada MH.
Jelas bintang kelahiran Dewi Remaja 2019 ini lagi, meskipun dikritik hebat, dia lega apabila tindakkannya itu telah menyuntik semangat anak-anak yang mengalami situasi sama sepertinya untuk bangkit memperjuangkan hak.
“Sewaktu membuat pendedahkan kepada pihak media, saya menjangkakan orang luar akan menyokong tindakan saya kerana saya tidak bersalah. Saya tidak diminta untuk dilahirkan.
“Namun, ada juga yang berterima kasih kepada saya kerana melakukan perkara seperti ini. Ada ramai anak-anak di luar sana yang mengalami masalah sama iaitu ibu bapa mereka tidak mengaku anak.
“Ada yang tiada kad pengenalan dan surat beranak. Jadi, tindakkan saya ini telah memberikan kesedaran kepada mereka di luar saya untuk berani bersuara untuk diri sendiri,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Myra juga bersyukur kerana pihak berwajib dan golongan agamawan telah menghubungi untuk menghulurkan bantuan dan memberikan khidmat nasihat.
“Bila hal seperti ini terjadi, ada ramai peguam, ustazah dan wakil kerajaan yang menghubungi saya untuk memberikan bantuan. Mereka lebih arif mengenai hal ini.
“Malah, saya juga ada berjumpa dengan golongan agamawan untuk bercakap mengenai kesihatan mental,” akhirinya.
Terdahulu, Myra akui kecewa kerana sehingga kini Halim didakwa tiada menghubungi untuk bercakap mengenai konflik ini seperti yang pernah dikatakan sebelum ini.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI