Hiburan

“Saya Terkejut, Bila Masa Saya Beri Kenyataan Itu,” – Nora Danish Ralat Atas Salah Faham

Share

Pelakon Nora Danish akui terkilan dengan tindakan segelintir pihak yang membuat kenyataan tidak benar dan mendakwa dirinya kini sedang mencari pasangan hidup walaupun masih dalam tempoh eddah.

Menurut Nora, dia tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian dan tindakkan seperti itu mampu mengundang rasa kurang senang sesetengah pihak.

@noradanishhanif❤️

♬ original sound – N O R A D A N I S H

“Ketika menjaga Nedim di hospital, saya ada pergi ke kedai serbaneka dan terlihat artikel mengenai saya dalam sebuah akhbar.

“Dalam artikel tersebut, katanya saya mencari suami yang beriman dan boleh membawa ke jannah. Saya terkejut. Bila masa saya beri kenyataan itu.

“Saya rasa kenyataan itu tidak wajar dikeluarkan. Saya baru sahaja bercerai dan masih dalam eddah. Bekas suami saya pula sedang sakit di hospital.

“Kenyataan sebegitu akan menimbulkan kesedihan segelintir pihak,” ujarnya.

Penjelasan itu dikongsikan oleh pelakon filem Polis Evo 3 itu menerusi sebuah hantaran video di aplikasi Tik Tok.

Katanya lagi, selepas membuat penelitian, hal berkaitan suami isteri itu timbul selepas dia berkongsi semula satu hantaran di Instagram, baru-baru ini.

“Bila saya kaji semula bagaimana artikel tersebut dikeluarkan, saya dapat tahu ia merupakan sebuah video yang saya kongsikan semula di Instagram.

“Saya kongsikan semula video tersebut kerana merasakan ia sangat manis dan berkaitan suami isteri. Ia menyentuh perasaan saya.

“Jadi, saya ingin berkongsi dengan pengikut saya dan saya pasti ia juga akan menyentuh hati mereka. Mungkin di situ berlaku salah faham,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, ibu kepada dua orang cahaya mata ini berharap semua pihak dapat memahami situasinya ketika ini.

“Bagi saya, untuk mencari suami soleh atau isteri yang solehah adalah impian semua orang dan bukan saya seorang. Semua orang mahukan isteri dan suami yang membawa ke jannah.

“Ini merupakan satu kepastian dan bukannya hal yang kita cari kemudian. Saya pun masih dalam proses eddah. Saya tak nak mencari suami dalam masa terdekat. Itu adalah perkara terakhir yang saya fikir.

“Saya belum nak mengahwini orang lain. Jauh sekali. Saya tak nak fikir dan buat orang lain fikir fasal hal ini. Doakan sahaja yang baik-baik buat semua orang,” akhirinya.

Pada 19 Jun lalu, Nora mengejutkan industri hiburan apabila sah bercerai talak satu dengan bekas suami, Nedim Nazri selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Nora dan Nedim mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl berusia enam tahun.

Sebelum ini, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Putra Rayqal, 15, serta bercerai pada 2008.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf