Penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun tidak menafikan dirinya kini sedang berkawan rapat seorang usahawan wanita berstatus janda kelahiran Indonesia.
Masih dalam fasa mengenali satu sama lain, bintang berusia 35 tahun itu menjelaskan keduanya kian rapat selepas berkenalan menerusi sebuah majlis rakan.
“Dalam proses perkenalan memandangkan kami secara jarak jauh. Jadi tiada kesempatan untuk bertemunya selalu,” katanya ringkas selepas ditanya mengenai hubungan yang mulai mekar sejak beberapa bulan lalu itu.
“Saya tiada halangan dan berkawan dengan semua orang termasuk individu dari negara luar. Kalau nak dikata kami ada sesuatu tu, rasanya cepat sangat. Malah kami pun jarang bertemu, masih dalam fasa perkenalan,” jelas Hafiz lagi.
Pada masa sama, Hafiz turut mengakui perkenalan dengan wanita berstatus janda itu berlaku secara tidak langsung.
Difahamkan juga, wanita berusia 20-an itu merupakan usahawan popular di Indonesia dan turut memiliki jumlah pengikut yang ramai di Instagram.
“Dia seorang usahawan dan sejujurnya saya banyak juga lakukan kerjasama dengan penggiat seni Indonesia dan kami kenal antara kenalanlah. Cuma bila kami isi masa tu macam ada keserasian.
“Saya rasa untuk elakkan hal lama terjadi kembali, rasanya lebih baik untuk kita pastikan terlebih dahulu. Saya pun sudah 35 tahun, kalau ada jodoh insyaAllah,” terangnya lagi.
Terdahulu, Hafiz ditemui pada majlis majlis pelancaran Aliff Syukri Legacy Cosmetics di Menara Mustapha Kamal, Damansara pada Rabu turut menambah, dia cukup selesa berkawan dengan wanita berkenaan.
Malah, Hafiz juga tidak menafikan wanita tersebut adalah wanita yang paling rapat dengan dirinya ketika ini.
“Buat masa ni saya selesa berkawan dengannya. Kami boleh berkongsi mengenai hal yang berbeza. Memandangkan kami jauh jadi masing-masing akan bercerita mengenai pelbagai perkara,” akhirinya.
Terdahulu menerusi Insta Stories, Hafiz turut berkongsi foto yang merakamkan sebuah panggilan dibuat dengan kapsyen; “Kangen ama kamu ya?.
Hafiz pernah mendirikan rumah tangga bersama usahawan kosmetik, Joy Revfa pada Mei 2017. Bagaimanapun, perkahwinan tersebut hanya bertahan dalam tempoh lima bulan sahaja.
Dalam perkembangan lain, Hafiz bakal muncul dengan album terkini November depan.
Foto: Instagram Hafiz Hamidun