Menjawab pertanyaan media mengenai dirinya yang yang dikatakan ada memberi tanda suka terhadap tweet seorang pengguna Twitter berkaitan perkahwinan golongan LGBT, hingga ada yang memberikan pelbagai reaksi baru-baru ini, penyanyi Wany Hasrita ada jawapan sendiri.
Katanya, dia tidak mempunyai apa-apa pandangan khusus terhadap status yang dikongsikan itu.
Sebaliknya, dia hanya memberi tanda suka kerana situasi seperti yang dinyatakan di dalam status tersebut ada berlaku.
“Saya tidak anti atau pun menyokong. Cuma tidak dinafikan, situasi seperti yang digambarkan menerusi status tersebut ada betulnya dan mungkin pernah berlaku.
“Ia suatu yang umum malah saya tidaklah menyentuh isu tersebut secara mendalam. Cumanya bagi saya, institusi perhawinan itu merupakan suatu tanggungjawab sesama pasangan.
“Kena saling menjaga, usah anainya pasangan. Mesej yang saya cuba sampaikan hanyalah itu sahaja,” katanya kepada MH.
Ditanya sama ada dia boleh menerima golongan tersebut sebagai sebahagian dari hidupnya selepas ini atau sebaliknya, penyanyi Terlalu Memuja ini mengakui setiap individu mempunyai kisah silam tersendiri.
“Saya sendiri tidak boleh kata diri ini sudah sempurna. Malah setiap orang pun ada sisi silam berbeza. Kalau betul-betul mahu berubah menjadi yang lebih baik, saya sanggup untuk bersama-sama bantu.
“Tetapi sejauh mana individu tersebut tekad untuk berubah, saya tidak boleh memaksa. Jadi sesiapa yang sedang berhadapan dengan situasi tersebut cubalah untuk berikan yang terbaik buat pasangan, teruskan berdoa kepadaNya,” kongsi Wany.
Terdahulu, Wany ditemui media pada majlis pelancaran Diversity In Raya Fashion bersama Starvilion dan Isetan Kuala Lumpur yang bermula pada 5 April hingga 2 Jun depan di Isetan KLCC.
Menyentuh mengenai koleksi rayanya tahun ini, Wany memberitahu koleksi kali ini lebih mempunyai beberapa perubahan hasil dari reaksi pembeli tahun sebelumnya.
“Jika tahun lalu rekaan Rindu by Wany Hasrita lebih kepada moden, jadi tahun ini kami cuba untuk terapkan elemen yang lebih santai dan sesuai untuk dipakai di mana-mana sahaja, baik di kota atau kampung halaman.
“Malah koleksi tahun ini juga mempunyai lebih 10 rekaan yang pelbagai dari segi rekaan serta fabrik,” jelas Wany.
Turut sama hadir memeriahkan sidang media berkenaan ialah pereka fesyen, Rizman Ruzaini, Hisyam Hamid, Puteri Zarith dan ramai lagi.