Heroin drama 7 Hari Mencintaiku, Siti Saleha bakal menamatkan zaman bujangnya bersama lelaki pilihan hatinya pada tanggal 28 Julai ini.
Kebiasaannya perkahwinan yang melibatkan selebriti sering mendapat tajaan daripada pihak-pihak tertentu untuk menaja perkahwinan mereka.
Namun tidak bagi Saleha, dia lebih memilih untuk tidak ditaja daripada mana-mana pihak dan dia mempunyai alasannya yang tersendiri.
Bagi Saleha dia lebih suka untuk merancang majlis perkahwinannya sendiri dan berpuas hati dengan hasilnya.
Saleha memberitahu kepada sebuah portal hiburan bahawa setakat ini segala perbelanjaan untuk majlisnya ini adalah hasil duitnya sendiri dan juga keluarga.
“Saya sendiri tidak mencari dan menawarkan kepada mana-mana pihak untuk menaja. Setakat ini perbelanjaan besar semuanya hasil duit poket saya dan keluarga. Andai ada pun yang sudi menaja hanya membabitkan perkara yang kecil,” katanya.
Menurut Saleha lagi, memandangkan dirinya adalah duta kepada sebuah jenama minuman jadi pihak tersebut mungkin akan meletakkan produk minuman mereka pada hari resepsi nanti.
Difahamkan kini persiapan menuju hari perkahwinannya sudah banyak yang selesai.
Apapun Saleha lebih memahami apa yang dimahukan untuk majlis perkahwinannya ini dan didoakan agar segala urusan berjalan dengan lancar.
Terdahulu, Saleha telah mengambil cuti daripada tawaran lakonan untuk memberikan fokus yang lebih terhadap majlis kahwinnya.
Semoga perkahwinan Saleha bersama lelaki pilihannya, Lutfi Azhar dipermudahkan dan mereka kekal bahagia sehingga ke syurga.
Sumber: Harian Metro