Peguam syarie mewakili Syamsul Yusof iaitu Azmi Rais tidak mengetahui mengenai dakwaan anak guamnya itu sudah melafazkan cerai terhadap isterinya di luar mahkamah.
Malah Azmi berkata, Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Mohd Yusof, 40, tidak pernah membuka mulut mengenai perkara itu kepadanya.
“Setakat ini saya tidak menerima sebarang maklumat mengenai lafaz di luar mahkamah. Saya juga tidak menerima saman atau dimaklumkan oleh Syamsul berkaitan hal ini.
“Syamsul hanya memfailkan tuntutan perceraian dengan kebenaran mahkamah di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS),” katanya.
Azmi memaklumkan perkara itu ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor pada Selasa.
Dalam masa sama, Syamsul juga terpaksa menerima dengan hati terbuka apabila tidak dapat melafazkan cerai terhadap Ira Kazar pada hari ini.
“Dia terima sahaja. Dan menanti tarikh sebutan yang seterusnya (25 September) depan,” ujarnya.
Untuk info, Syamsul menfailkan cerai terhadap Ira pada 19 Ogos lalu kerana dikatakan tidak lagi mempunyai persefahaman.
Sebutan yang sepatutnya berlansung pada 27 Ogos itu terpaksa ditunda kepada 25 September depan memandangkan Ira baru sahaja melantik peguam.
Untuk rekod, Syamsul dan Ira atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin berkahwin pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand.
Perkara itu disahkan oleh Syamsul menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam Instagram pada Januari tahun lalu.
Syamsul juga sebelum ini pernah berkahwin dengan Puteri Sarah pada 8 Mac 2014 dan bercerai pada 14 Jun tahun lalu.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 7, dan Sumayyah, 5.