Penyanyi dan pelakon, Elly Mazlein atau nama sebenarnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi merakamkan rasa syukur apabila majlis pertunangannya dengan lelaki pilihan, Mohamad Azlan dipermudahkan.
Malah kongsinya kepada MH, dia juga rasa terharu apabila masih diberukan ruang olehNya untuk rasa bahagia.
“Saya tidak sangka apa yang telah berlaku ini, saya diberikan ruang untuk bahagia. Tidak sangka anak juga diberi peluang untuk rasa apa yang sepatutnya dia rasa, begitu juga dengan bapa saya.
“Cikgu bukan sahaja berjaya ambil hati saya, malah anak dan bapa juga. Saya syukur apabila bakal suami rapat dengan insan yang saya sayangi.
“Saya tidak mahu apa-apa dah dalam hidup ini, selain kebahagiaan. Ingin dihargai dan saya nampak dia sangat bertanggjungjawab,” katanya jujur.
Ditanya mengenai mengapa sebab dirinya masih tidak mendedahkan wajah si dia kepada Umum, penyanyi lagu Bakawali ini hanya bersedia untuk berbuat demikian ketika sesi majlis berinai, setelah mendapat persetujuan bakal suami.
“InsyaAllah akan ada dua lagi majlis iaitu malam berinai dan majlis nikah. Pada malam berinai nanti, kita akan bawa cikgu (bakal suami) sebab dia pun akan berinai sama, anak saya pun akan turut serta.
“Cikgu bukan orang industri, jadi dia malu. Tidak mengapa, saya berinya ruang terlebih dahulu. Cuma saya ada beritahunya, pada malam berinai nanti kena perkenalkan diri dan dia okay.
“Sebelum ini saya ada juga bawanya menemani kalau ada sesi persembahan atau penggambaran.
“Puas juga pujuk. Habis saja kerja saya, dia ada beritahu selepas ini mama dengan kerja mama dan begitu sebaliknya. Jadi saya faham,” terangnya lagi.
Terdahulu pada majlis tunang, Elly menerima sebentuk cincin dari bakal mertua, Puan Zaiton selain lima dulang hantaran berbalas tujuh.
Elly dan pasangan bakal diijabkabulkan 18 Januari 2020.