Penyanyi, Khai Bahar mendedahkan dirinya tidak berkecil hati meski tidak berjaya meraih Anugerah Penyanyi Lelaki Popular atau Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular yang ke-33 (ABP33), Jumaat lalu.
Khai atau nama lengkapnya Muhammad Khairul Baharuddin pada masa sama turut menjelaskan, dia tidak pernah memaksa peminat untuk mengundi.
Sebaliknya, usaha yang dilakukan peminat adalah ikhlas dan sebagai penyanyi, sudah tentu dia menghargai akan pengorbanan yang ditelah dilakukan mereka.
Bukan sahaja apabila muncul musim pertandingan, tetapi sokongan berterusan tetap diberikan buat Khai sejak awal penglibatan dan seni sehingga kini
“Sejujurnya, saya tidak memaksa mereka untuk mengundi. Malah, dari awal saya sudah pun berikan pesan dah pesan kalau boleh, biarlah undi saya dengan seikhlas hati.
“Pada masa sama, mereka pun dah berusaha untuk undi cuma bukan rezeki untuk menang kategori berkenaan tahun ini. InsyaAllah kita boleh cuba lagi di masa depan,” jelasnya.
Penyanyi Luluh ini bagaimanapun mengakui dia tidak meletakkan harapan tinggi kerana semua penyanyi masa kini mempunyai keisitmewaan dan kelompok peminat tersendiri.
“Sejujurnya, saya sendiri tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk menang.
“Nak kata saya kecewa itu tidak, sebab kasih sayang yang peminat bagi pada Khai dah cukup untuk buat saya gembira,” katanya yang sukses memenangi trofi Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular bersama Siti Nordiana pada malam kemuncak ABP33 lalu.
Bintang Paling Popular kali ini menyaksikan Haqiem Rusli muncul sebagai Bintang Paling Popular seterusnya berjaya membawa pulang sebuah kereta Nissan Leaf berserta trofi.
Penyanyi dan penulis lirik itu berjaya meraih sebanyak 22,332,676 undi.
Dalam perkembangan lain, Khai bakal membuat persembahan sebagai penyanyi jemputan bersempena konsert Inteam 20 tahun, 12 Disember hadapan.
Konsert sempena ulangtahun ke-20 kumpulan Inteam ini turut bakal juga turut dimeriahkan oleh barisan penyanyi lain seperti Lah Ahmad, kumpulan Hijjaz, UNIC, Zayne dan Exist.