Ditanya mengenai keadaan menantu dan cucunya yang berusia lapan bulan, lelaki itu menegaskan mereka dalam keadaan baik.
“Saya difahamkan, malam tadi (semalam) polis membawa anak saya ke rumahnya di Bukit Katil dan dia sempat membuat panggilan video kepada saya.
“Selain itu, polis juga memeriksa dan mengambil telefon bimbit isterinya untuk siasatan berkaitan termasuk mesej dihantar wanita itu (mangsa),” dakwanya.
Katanya, keluarganya juga sudah melantik peguam bagi mewakili anaknya dalam siasatan dan perbicaraan kes itu kelak.
Mengenai hubungan dengan anak, dia berkata, anak kelapan daripada 10 beradik itu mempunyai minat sama dengannya berkebun dan difahamkan, anaknya itu juga aktif berkebun di balai tempatnya bekerja di Perak.
“Dia (anak) merayau ke merata tempat termasuk di kampung Orang Asli dan membelikan saya benih anak pokok pisang.
“Jika bercuti pula, laman rumah kami akan bersih dan dia akan memarahi adik-beradiknya jika melihat sampah atau barangan bersepah di persekitaran rumah,” katanya yang turut memaklumkan suspek rapat dengan arwah isterinya yang meninggal dunia pada Ramadan lalu.
Terdahulu, media melaporkan Nur Farah Kartini yang dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan pada 10 Julai lalu, ditemukan mati di kawasan tidak jauh dari Felda Gedangsa, kira-kira 6 petang dipercayai akibat dibunuh individu dikenali mangsa.
Susulan itu, polis menahan seorang penjawat awam bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Polis kemudian mengesahkan suspek adalah seorang anggotanya berpangkat lans koperal yang bertugas di Balai Polis Slim River di Tanjung Malim dan sudah lima tahun berkhidmat.
Suspek kemudian direman selama tujuh hari hingga 22 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.