Pelakon, Maya Karin memutuskan untuk menutup sepenuhnya operasi burger bakar kendaliannya sejak 1 Ogos lalu.
Menurut Maya, keputusan tersebut dibuat selepas mendapati ada banyak pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap projek sampingannya itu.
Malah, pelakon filem, Ombak Rindu itu turut menjelaskan bahawa dia langsung tidak terlibat dengan mana-mana jenama burger di pasaran.
“Delivery TERAKHIR #burgerbakarmayakarin . Kepada Maahad Tahfiz Lil Aytam.
“Dengan ini saya ingin mengumumkan #burgerbakarmayakarin akan tutup bermula 1st August ini.
“Dengan itu saya memberitahu saya tidak terlibat dengan mana-mana brands burger,” tulisnya.
Tambah Maya lagi, meski dia mempunyai hasrat untuk memperluaskan lagi bisnesnya itu, namun dia tidak mahu keadaan akan menjadi lebih teruk pada masa akan datang.
Dia bagaimanapun turut menzahirkan penghargaan buat semua yang menyokong.
“Projek burger ini bermula pada musim PKP untuk mengisi masa yang terluang.
“Sejujurnya niat di hati ingin memperluaskan dan memperkembangan burger bakar saya tapi saya mendapati ada pihak mengambil kesempatan jadi itu antara sebab saya mengambil keputusan untuk tutup terus.
“Terima kasih diatas sokongan anda semua yang tak terhingga.
“Saya amat hargai segala sokongan anda berikan! Dan Selamat Hari Raya Aidiladha! Love, Maya,” katanya.
Terdahulu, Maya memulakan bisnes burger bakarnya sebagai aktiviti harian semenjak Perintah Kawalan Pergerakan ekoran penularan wabak COVID-19 diumumkan.
Maya juga dilihat ada memberikan burgernya itu buat para frontliner yang terpaksa betugas sepanjang fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.
Sumber: Instagram Maya Karin