“Saya Tinggalkan Segala Hal Lain Demi Big Stage,” – Kecewa Persembahan Sendiri, Iqbal Alami Muntah Sebab Terlalu Banyak Fikir

Share

Usahawan Ahmad Iqbal Zulkefli mengakui dia alami muntah sejurus pulang dari membuat persembahan di Big Stage 2022 kerana terlalu banyak berfikir.

Menurut Iqbal, dia juga kecewa dengan apa yang telah dipersembahkan selain menerima markah yang diberikan para juri secara terbuka.

“Sesampai di rumah, saya muntah kerana terlalu banyak berfikir, kecewa dengan persembahan sendiri. Waktu menyanyi di pentas, saya tidak dapat kesan suara nyanyian saya seteruk yang terpapar di TV tadi.

“Saya terima sepenuhnya markah juri berikan. Apa yang netizen katakan nyanyian saya sangat rosak, saya sendiri pun bersetuju. Saya rasa bersalah pada ASTRO dan semua yang telah berikan saya peluang. Maafkan saya cikgu jika ini mengecewakan,” jelasnya.

Menerusi kapsyen panjang di Instagram, penyanyi lagu Hujan ini bagaimanapun meminta ramai untuk bertoleransi memandangkan dia bukanlah bermula sebagai penyanyi.

“Namun, saya mohon jasa baik semua, berikan sedikit pertimbangan untuk saya yang bukanlah seorang yang terdidik sebagai seorang penyanyi apatah lagi di pentas sehebat itu. Segalanya kejutan.

“Tidak sempat latihan seperti peserta lain. Saya tidak tahu Dato Seri Vida ada di program ini dan beliau pun langsung tidak tahu saya akan sertai Big Stage.

“Saya tinggalkan segala hal lain demi Big Stage. Pada awalnya berkali-kali saya menolak tawaran untuk sertai. Namun saya fikir, peluang ini sekali sahaja seumur hidup.

“Saya memohon kembali ASTRO supaya berikan izin untuk sertai juga. Berikan saya peluang untuk belajar. Tidak mengharapkan kemenangan, seminggu sahaja lagi, kalau terlalu buruk, saya sendiri akan tarik diri walaupun tiada penyingkiran di minggu hadapan,” tulisnya.

Apa pun, dia tetap beranikan diri selain menyifatkan ia sebagai satu pengalaman tak ternilai.

“Saya tetap bangga dengan diri saya yang tetap berani kedepan dan ambil peluang ini. Pelajaran paling berharga adalah pengalaman. Untuk orang lain yang hanya tahu mengecam, jika dicabar berada di tempat saya, mungkin dari awal sudah tidak berani kedepan. Ini bukanlah suatu jenayah.

“Jangan nilai saya seperti sudah terdidik untuk menjadi penyanyi sejak awal. Hanya doa yang saya harapkan, agar tetap bersemangat. Kita tidak tahu apa terjadi di kedepan hari,” katanya lagi.

Terdahulu, pengumuman ahli perniagaan asal Kelantan itu sebagai peserta ke-12 Big Stage musim keempat menerima reaksi pelbagai wargamaya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH