Penyanyi, Datin Alyah menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengatakan dirinya menjalani pembedahan bariatrik demi melancarkan proses hamil melalui rawatan pensenyawaan in-vitro (IVF).
Menurut Alyah atau nama sebenarnya Alyah Abu Hasan, dia melakukan prosedur tersebut demi kebaikkan kesihatan tubuh badannya.
“Saya buat bariatrik bukanlah kerana nak jalani IVF sebaliknya, disebabkan gastrik yang berpanjangan. Saya pernah cuba ubat kurus, diet dan bersenam. Saya dah ikhtiar cara-cara yang ada.
“Bila saya makan ubat kurus, saya masuk hospital sebab kurang air dalam badan. Bila bersenam, kaki saya selalu cedera sehingga terpaksa solat atas kerusi. Bila diet, saya kena gastrik sampai masuk hospital lagi
“Saya keluar masuk hospital tapi tak pernah bagitahu orang. Saya hidap gastrik dah lama.
“Sebagai penyanyi, kita aktif pada waktu malam. Kita bekerja dan makan. Jadi, kehidupan itu tak sihat untuk jangka masa panjang,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Tak Mungkin Kerana Sayang Itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis perlancaran Kempen ‘Lose To Win’ baru-baru ini.
Jelas Alyah lagi, dia kini lebih matang dan percaya dengan perancangan Allah bila melibatkan soal zuriat.
“Sesiapa yang rapat dengan saya, mereka tahu yang saya ini sukar untuk mengawal kemarahan satu ketika dahulu. Kalau ada apa-apa isu, saya akan dedahkan kepada umum.
“Kemudian, saya banyak belajar daripada orang bijak pandai tentang agama. Bagaimana saya nak tolong diri untuk berhadapan ujian berat dalam hidup.
“Jadi, saya tahu segala berlaku adalah dengan kehendak Allah. Dahulu, saya terlalu stres bila orang tanya tentang anak.
“Saya ada 12 adik beradik. Kakak-kakak saya semua boleh mengandung. Perkara ini terlalu peribadi untuk saya. Hanya saya tahu perasaannya. Allah adalah sebaik-baik perancang,” jelasnya lagi.
Pada masa sama, Alyah menyifatkan setiap perkara yang berlaku di dalam hidupnya mempunyai hikmah yang tersendiri.
“Soal anak ini, saya serahkan kepada Allah. Bila saya tahu hanya Allah yang ada jawapan, saya lebih lega tak rasa beban.
“Saya ada dengar ceramah agama. Dapat anak itu rezeki. Tak dapat anak pun rezeki. Bila fikir balik, memang betul pun. Abang saya sudah meninggal, saya ada anak sedara yang perlu dijaga.
“Kalau saya ada anak, susah nak bagi perhatian kepada mereka. Perancangan Allah sangat baik. Saya dan Tok Ram seronok je begini,” akhirinya.
Terdahulu, kempen ‘Lose To Win’ ini merupakan sebuah program anjuran
Persatuan Sukan, Rekrasi dan Kesihatan Kuala Lumpur (Su.Re Sihat KL).
Menerusi kempen ini, Su.Re Sihat KL mahu mengumpul dana bagi membantu 20 individu berpendapatan rendah (B40) untuk menjalani program pengurusan obesiti.
Malah, program ini turut merangkumi pembedahan yang akan dilaksanakan oleh doktor pakar saluran gastro usus atas dan bariatrik.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.