Tidak dinafikan dalam perkembangan media sosial ketika ini, ada yang menghasilkan ‘content’ berunsur kebajikan tetapi secara tidak langsung memalukan subjek tanpa sedar.
Misalnya, ada yang menjadikan amalan sedekah terutama kepada golongan asnaf sebagai ‘content’ di media sosial sekaligus memalukan mereka, atas sebab tertentu.
Meski golongan ini wajar diberikan perhatian, namun itu tidak bererti aib mereka juga sewenangnya dijaja.
Mengulas mengenai perkara itu, pendakwah bebas, Ustaz Yaakub Yusra Mohd Yusof meminta ramai untuk lebih berhati-hati.
“Tolonglah kalau gambar mak, ayah atau adik-beradik kita ni, orang ‘publickan’ untuk content mereka… ya bagi bantuan tapi point utamanya mengaibkan.
“Saya yakin orang susah pun tak mahu diaib atau dimalukan. Tapi kadang-kadang mereka terpaksa. Ya Islam ajar pada kita ‘tangan memberi lebih baik dari yang menerima’, tapi janganlah yang memberi itu mendapat kredit.
“Sementara yang menerima itu mendapat malu dan aib. Mereka juga ada maruah. Sebab itu kita harapkan dalam bab ini, semua boleh berhati-hati. Ambil pengajaran.
“Memberi itu tidak salah, tapi berilah dalam cara tidak mencalarkan maruah orang lain, insyaAllah,” katanya yang juga Pengasas Murtadha Dakwah Centre (MADAD) itu.
Sehingga kini, video berkenaan sudah pun ditonton lebih 163,000 kali di Facebook dan 132,000 kali di Twitter sejak tular beberapa hari lalu.
Menerusi video Facebook berdurasi 2 minit 24 saat itu juga, Ustaz Yaakub menunjukkan cara-cara menggunakan mesin ATM beras, Rice for Asnaf yang dicipta MADAD khusus untuk golongan berkenaan, sebelum ditanya persoalan apabila golongan asnaf dipergunakan sebagai content oleh seorang individu.
Dalam video sama, Ustaz Yaakub tampil berkongsi manfaat mesin ATM Beras yang diusahakan untuk memudahkan pihaknya menghulurkan sumbangan kepada asnaf meski ada yang memandang serong.
“Bukan view yang dicari tapi manfaat daripada perkongsian untuk ummah. Normallah, ada yang sambut baik tak kurang juga yang mempertikaikan.
“Yang kritik tak setuju tak apa, yang penting MADAD buat mesin ini untuk mudahkan golongan asnaf terima bantuan dan manfaat.
“Mesin ATM Beras yang MADAD buat ni salah satu cara untuk tutup rasa malu dan segan asnaf minta bantuan. Hanya apply kad dan lepas tu mai berusan dengan mesin ja. Tak jumpa dah orang.
Yang susah ambil beras, yang senang sumbang beras. Kan best ada ekosistem macam tu,” antara penjelasannya.Terdahulu, beberapa lokasi di sekitar Kedah telah dikenalpasti sebagai lokasi untuk meletakkan mesin ATM beras berkenaan dan 100 asnaf yang berminat boleh mendaftar sebagai pemegang Kad ATM Beras menerusi MADAD.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.