Selebriti terkenal Malaysia, Scha Alyahya baru-baru ini membuat penampilan eksklusifnya di Minggu Fesyen Dubai khusus untuk jenama terkenal Malaysia, Alia Bastamam.
Menggayakan persalinan rona putih mutiara yang dibuat khas oleh pereka fesyen terkenal itu untuknya, Scha Alyahya melangkah gah penuh pesona sebagai muse untuk menutup rekaan keseluruhan yang dipersembahkan.
Rekaan yang disarung ibu kepada dua cahaya mata itu menampilkan stail gaun labuh berkorset dengan perincian tali di bahagian hadapan. Tambah menarik pada rekaan tersebut, layah labuh di bahagian belakang menyerlah elemen dramatik.
Menurut Alia, dia dan Scha Alyahya memiliki hubungan sejak jenama itu ditubuhkan pada 2011 lagi sebagai selebriti pertama yang menggayakan rekaan custom jenama tersebut.
Momen dan hubungan dinamik yang tercipta sejak sekian lama menjadi satu titik temu yang penuh dengan energi positif, apatah lagi ini merupakan momen sulung kemunculan jenama Alia Bastamam di minggu fesyen berprestij di negara timur tengah itu.
Dek kerana itu, pemilihan pemilik nama penuh Sharifah Nor Azean binti Syed Mahadzir Al-Yahya merupakan satu penghormatan sekaligus melambangkan persona Alia Bastamam.
“Dia telah berjaya dalam apa sahaja yang dilakukan. Dia tidak perlu bersusah payah dalam mencipta gayanya, ikon dalam hiburan dan seterusnya, dia adalah ibu kepada dua anak perempuan yang cantik dan terus melakukan yang terbaik, iaitu segala-galanya!” kongsi Alia.
Tambahnya lagi, dalam apa sahaja yang dilakukan Scha Alyahya, sejujurnya dia merupakan masa lalu, masa kini dan masa akan datang jenama Alia Bastamam.
Menjengah ke Instagram Scha Alyahya pula, isteri kepada Awal Ashaari itu meluah rasa usai berjalan di pentas fesyen untuk pereka fesyen terkenal tersebut dalam satu hantaran yang menceritakan perjalanannya di Dubai Fashion Week.
“Menambah skil terbaru dalam resume saya. Terima kasih kepada Alia Bastamam atas kepercayaan untuk saya menggayakan satu lagi rekaan yang cantik di Dubai untuk Dubai Fashion Week.
“Sangat bangga dengan anda dan seluruh pasukan. Terima kasih atas peluang ini. Saya sangat berbesar hati. Terima kasih,” tulisnya.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan