Setelah sekian lama berteka-teki, pelakon Scha Elinnea akhirnya mendedahkan hubungannya bersama aktor, Jazmy Juma hanyalah sekadar teman biasa.
Menurut Scha atau nama sebenarnya Nur Azleen Natasha Mohamed Mubeen, segala kemesraan yang dipamer dalam media sosial hanyalah sekadar konten bagi mempromosikan drama lakonan mereka ‘Nuh & Nayla’.
“Di sini saya mahu menerangkan segala kekeliruan, saya dan Jazmy memang hanya sekadar kawan sahaja. Selagi belum habis projek drama kami, saya tak boleh nak dedahkan apa-apa.
“Kini, drama kami pun sudah tamat. Hubungan kami kekal profesional sebagai kawan dan tidak lebih daripada itu,” katanya kepada MH.
Katanya lagi, sebagai tunjang utama sesebuah drama, mereka juga mempunyai peranan dalam memastikan projek tersebut berjaya dan mendapat sambutan ramai.
“Pada saya, itu bukan gimik. Apa yang kami lakukan hanyalah disebabkan tuntutan kerja. Nak kata selesa atau tidak bila dikaitkan hal seperti ini, saya okay sahaja kerana ia urusan kerja semata.
“Saya rasa, orang di luar pun sudah tahu tugas saya untuk menaikkan sesebuah projek drama. Saya pun nak orang menonton drama ‘Nuh & Nayla’.
“Apapun, niat saya baik dan saya mahu menaikkan drama lakonan saya sendiri,” ujarnya lagi.
Jelas Scha lagi, dia juga tidak mahu terlibat dengan sebarang hal percintaan di set lokasi penggambaran.
“Pada saya, cara saya ini telah berjaya menarik hati para penonton dan membuatkan mereka percaya dengan konten-konten yang saya hasilkan di media sosial.
“Namun, saya hanya menjadi profesional. Saya tidak mahu bercinta di set penggambaran. Saya tak nak cerita-cerita yang tidak baik mengganggu urusan kerja saya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Scha turut mengakui dirinya kini punyai hati yang perlu dijaga dan dalam proses mengenali seseorang.
“Susah saya nak jawab tapi ada hati yang perlu saya jaga. Saya masih single tapi ‘not available’. Saya kini sedang mengenali hati budi seseorang.
“Siapakah orangnya, saya tak boleh bagitahu lagi. Kami baru sahaja berkenalan dan setakat ini dia faham dengan cara kerja saya,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.