Penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza yang baru sahaja muncul dengan single Terang pada November tahun lalu kini hadir dengan lagu terkini, berjudul 7 Nasihat.
Single yang dicipta rapper, komposer dan penerbit yang semakin meningkat naik iaitu pasangan duo Kmy Kmo dan Luca Sickta.
Menariknya, mereka turut membuat penampilan istimewa dalam lagu ini.
Terdahulu, duo ini turut aktif memperjuangkan genre Hip Hop berkonsepkan ritma atas puisi, cukup dikenali dengan karya ciptaan yang sarat dengan tradisi kemelayuan dari segi bunyi dan bahasanya.
Atas konsep sama, 7 Nasihat tidak hanya berpaksikan kepada elemen muzik kemelayuan semata, malah bait-bait katanya turut melambangkan kesantunan orang Melayu dalam memberi kritikan sosial menggunakan bahasa kiasan.
Menerusi lagu ini juga, kolaborasi Datuk Siti bersama dengan rapper duo berkenaan dilihat sangat bertepatan dan berpadanan kerana masing-masing mempunyai jati diri kemelayuan yang sangat tinggi dalam berkarya.
Sementara itu, ini merupakan kali kedua Datuk Siti berkolaborasi dengan penyanyi Hip Hop selepas kumpulan Too Phat pada tahun 2005 menerusi Dua Dunia.
Siti dalam satu kenyataan memberitahu, kerjasama ini adalah sebagai antara alternatifnya untuk mendekatkan diri dengan pencinta muzik muda.
“Sebagai artis senior, saya tidak mahu ketinggalan dengan peredaran muzik semasa.
”Peluang bergandingan dengan mereka merupakan salah satu cara untuk saya mendekati peminat muzik dan pendengar yang lebih muda”, katanya yang dijangka bakal melancarkan album penuh April depan.
Tambahnya lagi, lagu 7 Nasihat merupakan sebuah karya istimewa kerana menggabungkan hip-hop, rap dan tradisional.
Ini juga diharap dapat menyuntik minat generasi muda agar terus menghayati gabungan irama yang digarap dengan begitu baik sekali.
Dalam perkembangan lain, single terbitan Siti Nurhaliza Productions dengan kerjasama Universal Music Malaysia ini boleh didapati di semua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula hari ini.