“Sebagai Ibu, Tentu Akan Faham Betapa Azab, Derita…,” – Hina Kematian Dua Anak ‘Rentung’, Vida Tuntut Azwan Ali Buat Permohonan Maaf Secara Terbuka, Jika Tidak?

Share

Usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida mengemukakan saman malu terhadap Azwan Ali menerusi satu sidang media tergempar yang diadakan pada Isnin di Kuala Lumpur.

Tindakan tersebut diambil Vida mendakwa selepas pengacara itu menghina kematian dua anaknya dalam kejadian kebakaran beberapa tahun lalu.

Malah, dia turut didakwa melakukan ‘body shaming’ anaknya, Cik B atau Edlynn Zamilleen Muhammad Amin secara terbuka dengan kata-kata kesat sehingga mengganggu emosi dan dianggap sebagai perbuatan yang cukup tidak sensitif.

Vida atau Hasmiza Othman turut menjelaskan perbuatan Azwan berkongsi sepotong video sedang membakar minyak wangi dan selendang pemberiannya merupakan satu penghinaan dan tindakan biadap.

“Sebagai seorang ibu tentu akan faham betapa azab, derita dan kecewa apabila berlaku begini. Saya kena cekal tetapi dia menghina arwah anak saya dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Apabila dia berbuat begitu, memang satu kebiadapan yang luar biasa. Bukan sekali tapi berkali-kali dia memuat naik benda yang sama. Akhirnya saya kena ambil tindakan kepada mereka yang kurang ajar begini, tidak berperikemanusiaan dan tidak merasa sakit kehilangan orang tersayang itu bagaimana.

“Saya menangis sehingga darah tinggi, murung dan tertekan namun mujurlah saya tetap tenang.

“Saya kemukakan saman malu terhadap Azwan kerana dia telah menyentuh isu sensitif yang berkaitan dengan fizikal anak saya Cik B dan tragedi hitam yang berlaku pada kedua-dua anak lelaki saya, saya tidak akan berdiam diri.

“Walaupun keadaan fizikal anak saya sebegitu sekalipun, tiada siapa berhak untuk mencela fizikal orang lain,” jelasnya ketika sidang media.

Menurut Vida, pihaknya tidak menjemput Azwan Ali ke karnival berkenaan dan sebaliknya dia hadir atas jemputan Roslan Shah.

Menurut tuntutan saman malu berkenaan, Azwan Ali diminta membuat permohonan maaf secara terbuka atas segala penghinaan terhadap DSV dan anak-anaknya dalam masa 48 jam di media sosial serta menandatangani perjanjian untuk menarik kembali kenyataan dan video yang dimuat naik di laman sosial miliknya.

Published by
Noraini Abd Wahab