Datin Diana Danielle menyifatkan dirinya bertuah dan dia sentiasa bersyukur atas doa serta sokongan peminat serta keluarga yang tidak putus-putus mendoakan yang terbaik khasnya buat suami, Datuk Farid Kamil.
Katanya kepada MH, sejak dulu lagi dia bersyukur dengan para peminat yang terdiri daripada pelbagai lapisan.
Tidak hanya peminat sendiri malah mereka yang kagumi si suami.
“Sejak dulu lagi saya bersyukur dengan peminat yang pelbagai, untuk Farid dan saya. Apa yang saya terima itu juga merupakan sebahagian daripada mereka yang sayangi Farid.
“Jadi apabila mereka sayangkan Farid dan sudah pun kenali siapa suami saya selepas beberapa tahun dalam industri, mereka baik dengan diri saya kerana mereka hormati, sayangi dan sentiasa menyokong,” kongsinya jujur.
Malah pada masa sama, penerima anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem menerusi Hanyut ini juga mengakui, dia sebagai isteri lebih mengenali hati budi suami tersayang.
“Saya sebagai isteri, tahu siapa suami saya. Dia suami dan bapa terbaik untuk kami sekeluarga.
“Kami sangat seronok kerana masih dapat menikmati saat-saat gembira.
“Seperti mana yang dikongsi Hanis Zalikha, katanya bila kita menghadapi sesuatu yang sukar dan bila kita dapat pula mengharunginya, Allah akan kurniakan kita perkara yang lebih manis, berganda,” kongsi Diana lagi.
Pada masa sama, ibu kepada dua cahaya mata ini turut mengakui apa yang berlaku membuatkan ikatan hubungan menjadi lebih matang.
“Memang perhubungan jadi lebih matang dan kami lebih menghargai diri masing-masing. Saya sedar betapa pentingnya Farid dalam hidup saya.
“Saya berterima kasih kerana peminat tidak jemu memberikan sokongan, kata-kata serta doa yang banyak membantu.
“Saya juga ingin ambil peluang untuk kembali doakan yang baik-baik kepada semua yang banyak mendoakan kami,” harap bintang yang mesra disapa Dee ini.
Tambahan lagi, bintang Gol & Gincu 2 ini tidak menafikan sokongan padu dari keluarga juga menjadikan dirinya lebih kuat.
Dalam perkembangan lain, Dee baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama Ombak Rindu arahan Osman Ali untuk saluran Iflix.
Menerusi drama berkenaan, Dee mendukung watak sebagai Mila Amylia, yang sebelum ini pernah dibawa Lisa Surihani.
Sementara Hariz pula dipegang oleh Remy Ishak dan Izara Aishah ditampilkan sebagai Izzah.
Terdahulu, Farid pada 19 Jun lalu, dibenarkan menangguhkan hukuman penjara sembilan bulan, selepas menjalani hukuman selama 35 hari, sejak 15 Mei lalu.
Foto: Instagram Datin Diana Danielle