Sering bergandingan dengan pelakon berstatus suami orang, pelakon Sophia Albarakbah berkata kadang-kala timbul kerisauan untuk melakonkan adegan romantik dengan pasangan ‘on-screen’-nya.
Namun begitu, Sophia mengakui beruntung kerana kesemua isteri kepada rakan aktornya itu memahami tuntutan kerjaya suami masing-masing.
“Memang ada perasaan risau sebab kita sebagai wanita, kalau suami kita berlakon dengan perempuan lain mesti kita akan ada perasaan cemburu itu.
“Sebagai perempuan, saya bertanya juga, dia okay ke saya berlakon dengan suami dia, dia (akan) attack saya tak, saya rasa takut-takut sikit (pada mulanya).
“Tapi semua isteri pelakon yang saya pernah bekerja, isteri mereka sangat memahami tuntutan kerja suami, jadi tiada masalah buat saya,” katanya kepada MH.
Sophia ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri terbaharu lakonannya, Cinta Hilang Kata yang berlangsung di Panggung Asia, Gombak, Kuala Lumpur pada Selasa.
Menerusi naskhah terbitan Country & Universal Sdn. Bhd itu, Sophia sekali lagi digandingkan dengan pelakon berstatus suami orang iaitu, Shahz Jaszle.
Bercerita mengenai pengalamannya berlakon dengan Shahz, Sophia turut memuji isteri aktor itu yang sangat memahami kerjaya suaminya.
“Saya kenal dengan isteri Shahz, Hanis jadi tidak timbul masalah untuk bekerja dengan Shahz Jaszle.
“Malah, Hanis sendiri yang akan masukkan apa-apa promo berkaitan drama ini ke dalam media sosial suaminya,” ujarnya lagi.
Selain Shahz, Sophia sebelum ini pernah bergandingan dengan Datuk Aaron Aziz, Fattah Amin dan Datuk Adi Putra.
Sementara itu, drama Cinnta Hilang Kata akan memulakan tayangannya pada 18 Julai ini di saluran Astro Prima (105), setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang.
Drama arahan Kyoll Hamzah itu menampilkan gandingan Sophia, Shahz Jaszle, Nelissa Nizam, Iqram Dinzly, Hariz Hamdan dan Liza Abdullah.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Foto: Instagram Sophia Albarakbah