Gamat dengan sorakan penonton apabila kelibat Pak Ya atau nama sebenarnya, Ilya Buang yang muncul menerusi program Sepahtu Reunion, pada Jumaat.

Sepahtu Reunion yang bersiaran bermula jam 9.00 malam di Astro Warna itu nyata berbeza apabila ia merupakan aksi lawak pertama Pak Ya selepas dia didakwa telah disekat pihak tertentu daripada membuat kemunculan dalam dua episod sitkom program berkenaan sebelum ini.

Hal ini berikutan kononnya wujud lawak yang dikatakan menyindir kerajaan bersama kumpulan Rare yang turut dianggotai oleh Ropie dan Ajak dalam final Maharaja Lawak Mega 2019 tempoh hari.

“Kami ingin menyatakan kekesalan dengan apa yang berlaku pada malam MLM 2019 dan ingin memohon maaf secara terbuka kepada pihak MBSA serta penonton.

IKLAN

“Harap-harap tiada lagi pihak yang memendam rasa dengan kumpulan Rare. Kami juga mahu isu ini berakhir dengan aman dan turut mengambil iktibar dari kejadian yang berlaku.

“Insya-Allah kami akan lebih berhati-hati di masa akan datang. Semoga ini menjadi pengajaran buat kami bertiga,” kata Pak Ya seperti yang dipetik mStar sebelum ini.

Sementara itu menerusi ruangan komen, rata-rata peminat menyatakan rasa rindu yang terubat dan syukur dengan kehadiran bintang lawak senior itu di dalam sitkom berkenaan.

Foto: Instagram Zon Lawak