Penyanyi rap Loca B lebih selesa untuk tidak terlalu terbuka dalam berkongsi perihal kehidupan peribadi kepada umum.

Loca atau nama sebenarnya, Hani Azali berkata, keputusan tersebut diambil demi mengelakkan sebarang gangguan yang timbul terutama soal membabitkan keluarganya.

Bagaimanapun Loca mendedahkan dia berstatus ibu tunggal anak seorang sebelum berkahwin dengan ahli kumpulan K-Clique iaitu Tuju.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Loca B mempunyai seorang anak lelaki bernama Yusuf Alezander yang kini mencecah usia lima tahun.

“Saya tidak mahu terlalu terbuka berkongsi mengenai kehidupan peribadi kerana ada perkara yang membabitkan keluarga saya yang tidak boleh dikongsikan kepada umum.

IKLAN

“Ada perkara yang memang saya simpan sendiri. Bagi saya, lebih baik tidak berkongsi daripada nanti ada pihak yang menganggu.

“Sekarang ini semua orang sudah tahu yang saya ada anak. Orang tak perlu tahu pun cerita yang lebih dalam mengenai kehidupan peribadi saya.

“Saya tak boleh nak kongsi banyak. Cuma, apa boleh dikatakan sebelum berkahwin dengan Tuju, saya ibu tunggal yang mempunyai seorang anak,” katanya.

IKLAN

Loca B ditemui ketika majlis sesi ramah mesra bersama barisan finalis Anugerah Juara Lagu yang ke-35 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada Khamis.

Pada 24 November lalu, Tuju ketika muncul di program MeleTOP mengumumkan isterinya selamat melahirkan bayi perempuan yang diberi nama Bintang Aiko.

IKLAN

Dalam pada itu, penyanyi bersama lagu Gila ini turut berkongsi dia masih cuba menyesuaikan diri menguruskan anak kecil selepas bersalin anak kedua.

“Saya masih tengah nak susun semula jadual kerjaya dan keluarga tapi Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Sebab sekarang pun saya hanya fokus pada AJL.

“Bagi saya, kelahiran kedua ini lain sebab saya dapat rasa menjadi seorang ibu semula. Saya kena belajar semula perkara asas sebagai seorang ibu.

“Sekarang saya bekerja, jadi agak sibuk. Ada masa bila kerja, saya dapat masa untuk diri sendiri. Bila di rumah, saya galas tanggungawab sebagai seorang ibu pula,” katanya.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI