Bekas anggota kumpulan nasyid In-Team, Suhami Saad menyifatkan keputusannya untuk tidak menghantar anak-anaknya ke sekolah harian biasa sebagai langkah tepat, lebih-lebih lagi setelah kerajaan mengumumkan untuk memansuhkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
Jelas Suhaimi, keputusan kerajaan itu membuktikan manusia tidak seharusnya bergantung harap kepada sijil pelajaran semata-mata, sebaliknya meletakkan sepenuh kepercayaan kepada rezeki tuhan.
“Lagi kebenaran dizahirkan. Sebelum ni ampa maki aku sebab kononnya aku nafikan hak anak anak.
“Nanti anak-anak takdak UPSR, takdak PT3, takdak sijil, payah nak kerja. Payah nak cari makan. Sekarang makan la sijil UPSR dan PT3 ampa tu.
“Bukalah minda. Hidup mati kita kena bergantungharap pada Tuhan. Bukan makhluk.
“Jangan rasa hidup boleh berjaya dengan satu cara saja. Cara yang paling betul adalah cara yang Allah dan nabi tunjukkan,” tulisnya.
Kenyataan tersebut dikongsikan oleh bapa kepada empat orang cahaya mata itu menerusi sebuah entri yang dimuat naik di laman Instagram.
Katanya lagi, kejayaan seseorang manusia itu bukan hanya boleh diraih menerusi bidang pelajaran semata-mata tetapi banyak lagi cabang-cabang yang lain.
Awal minggu lalu, kerajaan telah memutuskan untuk memansuhkan UPSR sepenuhnya mulai tahun ini manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan untuk tahun ini.
Memetik laporan Berita Harian, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata keputusan memansuhkan UPSR dibuat hasil penglibatan daripada pelbagai pihak sejak peperiksaan itu dibatalkan tahun lalu akibat COVID-19.
“Sejak pembatalan UPSR tahun lalu, kementerian membuat penelitian mengenai kaedah pentaksiran, kita juga melihat apa kaedah terbaik dilaksanakan di negara lain, di peringkat sekolah rendah. Kemudian kita meneruskan dengan libat urus bersama guru besar, guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta persatuan berkaitan.
“Hasilnya, kita mengambil keputusan bahawa UPSR dimansuhkan sepenuhnya mulai tahun ini,” katanya seperti yang dipetik.
Sumber: Instagram Suhaimi Saad & Berita Harian