Salah seorang protoge Siti Sarah, Alina Hassan yang sebelum ini pernah popular menerusi lagu Dingin mengakui dia tidak pernah terfikir untuk kembali menyertai program pertandingan nyanyian selepas terlibat menerusi rancangan Kilauan Emas beberapa tahun lalu.
Bagaimanapun, atas dorongan dan minat mendalam membuatkan penyanyi berusia 51 ini sekali lagi mahu mencabar diri, bersama barisan finalis yang lebih muda lain untuk bersaing di Mentor Otai, berada di bawah Mentor, Siti Sarah.
Ditanya mengenai kehilangan dirinya sejurus program Kilauan Emas, bekas juara Sinaran Passport Kegemilangan 1996 ini jujur mengakui pada fasa tersebut dia masih tercari-cari hala tuju dalam kerjaya.
Lalu bagi meneruskan kehidupan, dia ada mengambil beberapa persembahan secara sambilan menyanyi di restauran dan hotel bagi menampung hidup.
“Kalau boleh saya tak mahulah kongsikan apa yang telah berlaku secara terperinci. Cumanya, selepas hadir dengan dua album, saya mengambil keputusan untuk memberi fokus kepada keluarga. Namun jodoh tidak panjang bersama bekas suami dan sejak itulah saya cuba survive hidup sendiri.
“Tapi itulah, kerja saya yang tidak menentu tidak boleh menjamin kelangsungan kos sara hidup. Kadang-kadang ada job menyanyi, kadang-kadang tidak ada. Jadi sebelum sertai Mentor Otai, saya kerja sebagai tukang sapu. Sebelum itu saya kerjaya sebagai ‘jaga’ di KLCC.
“Tak tahulah orang perasan atau kenal ke tidak masa tu. Tapi nak peduli apa kan? Saya perlu survive,” katanya jujur kepada MH sejurus melakukan sesi FB Live bersama Sinar Harian.
Ditanya apakah yang mahu dilakukan andai kemenangan berpihak kepadanya di Mentor Otai, pelakon teater Tiang Seri Tegak Berlima ini berkata;
“Kalau menang, saya nak buat wang kemenangan itu untuk beli van. Kemudian beli perkakasan pencuci. Saya nak buat perkhidmatan membersih dari rumah ke rumah. Selain rumah, boleh juga ambil upah cuci pejabat, masjid dan sebagainya,” kongsinya jujur.
Ditanya adakah dia rasa segan dengan kerjayanya sebelum ini, Alina menambah, dia tidak pernah ada rasa malu atau kekok.
“Mula-mula tu memang ada rasa kekok. Tapi lama-lama sudah terbiasa. Rasa puas hati dengan apa yang dilakukan. Bila tempat yang kotor, saya cuci sampai bersih jadi rasa puas hati,” akui Alina.
Tidak mahu menyalahkan sesiapa atas situasi yang menimpa terhadap dirinya, Alina optimis mahu memberikan yang terbaik dalam pertandingan Mentor Otai bersama seorang lagi rakan protoge, Ayie.
Sementara itu, Sarah yang turut menemani Alina menambah, dia ada meminta pandangan suami, Shuib sebelum mengambil Alina sebagai protogenya.
“Saya ada juga kongsi bersama suami. Kata saya, Alina ada bakat besar tetapi tiada jalan untuk pergi jauh. Jadi apa salahnya saya yang mempunyai sedikit platform ini untuk membantunya, InsyaAllah.
“Saya juga merasakan, sebagai anak seni, kalau situasi sama berlaku pada kita, apa yang akan kita rasa andai tiada yang cuba untuk bantu.
“Jadi saya beri tunjuk ajar sebaik mungkin kerana dia memang punya bakat yang besar. Paling penting, dia memang minat menyanyi, saya tak mahu buang bakatnya begitu saja,” akhiri Sarah.
Foto: TV3
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI