Pelakon dan penyanyi, Danny X-Factor tidak akan meninggalkan pekerjaan sebagai pemandu e-hailing meskipun kini kembali sibuk dengan kerja-kerja di belakang tabir sebagai penerbit atau pengurus produksi.
Menurut Danny atau nama sebenarnya Mohd Kardanie Anwa, dia kini lebih gemar melakukan pekerjaan e-hailing berbanding berlakon kerana ia mampu menjana pendapatan setiap hari.
“Selain kembali aktif di belakang tabir, saya masih bekerja sebagai pemandu e-hailing sejak 2017. Isteri saya seorang pramugari dan bila dia bekerja, saya akan jaga anak.
“Bila dia balik, saya akan sambung buat e-hailing. Kalau ada tawaran berlakon, saya akan fikir panjang. Kalau buat e-hailing, kita ada duit hari-hari.
“Saya lebih suka buat e-hailing daripada berlakon. Ia juga salah satu cara saya cari kenalan. Pada masa sama, saya juga seorang ejen insurans.
“Saya suka buat macam-macam kerja. Tiadalah duduk termenung sahaja. Saya juga fikir masa hadapan. Kalau sakit, tak perlulah dengar artis minta bantuan,” katanya kepada MH.
Bekas anggota kumpulan X-Factor itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media drama Sebelum Titik Noktah, di Bungalow 37, Bangsar pada Khamis.
Katanya lagi, dia juga sanggu keluar awal pagi untuk mencari penumpang sebelum datang ke set penggambaran.
“Seronok dan berbaloi. Kalau kerja produksi, sekali dapat bayaran, terus habis tapi kena duduk di set. Kalau buat Grab, hari-hari ada duit nak bayar segala bil.
“Kalau ada tawaran berlakon, saya tetap aktifkan aplikasi e-hailing. Saya akan keluar pukul tiga atau empat pagi untuk cari penumpang. Pukul 10 pagi saya masuk ke set,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Danny juga bersyukur kerana isterinya itu menerima pekerjaannya dengan baik dan menghargai usahanya untuk mencari rezeki buat keluarga.
“Apa yang saya lihat sejak akhir-akhir ini, ramai artis punyai masalah kewangan. Seperti isteri saya, dia menerima saya seadanya.
“Kata isteri, pergilah keluar bekerja dan dapat RM50 pun cukuplah. Mana-mana isteri nak tengok suami bekerja saja.
“Tiadalah kita asyik nak meminta-minta sahaja. Duit rokok pun minta isteri. Lagipun pekerjaan ini tidak menyusahkan orang. Anak saya pun gembira,” kongsinya lagi.
Lantaran itu, Danny turut menasihatkan buat rakan-rakan artis untuk membuang perasaan malu dan mencuba pekerjaan e-hailing ini.
“Bila buat e-hailing, kita ada pendapatan hari-hari. Buat artis-artis yang tiada job, daripada duduk sahaja, lebih baik gunakan kereta anda dan mulakan pekerjaan ini.
“Tapi saya faham, ada yang malu nak buat tapi terpulanglah kepada anda,” akhirinya.
Sementara itu, Danny bakal muncul dalam drama bergenre fiksyen dan thriller iaitu Sebelum Titik Noktah yang ditayangkan bermula 11 November, setiap Isnin, jam 11 malam menerusi Saluran 120 di Unifi TV.
Drama terbabit turut dibintangi Aiman Hakim Ridza, Puteri Balqis, Noki, Shabby, Mathni Razak, Alif Muhaimin dan ramai lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.