Keputusan penyanyi sensasi, Zizi Kirana yang mengambil keputusan untuk tampil berhijab sepanjang Ramadan lalu disambut baik para peminat.
Malah, ratanya-ratanya memuji tindakan penyanyi asal Sabah itu yang dilihat lebih ayu dan sopan, berbeza dengan imej yang sering mendapat perhatian kerana disifatkan seksi dan daring.
Bagaimanapun, meski dirinya sudah pun memberikan penjelasan apabila kembali tidak mengenakan tudung, namun ramai juga yang masih mengkritik imejnya.
Kata Zizi atau nama lengkapnya, Nur Fazelah Mad Tahil buat kesekian kalinya menjelaskan, apa yang dilakukan adalah kerana niat.
“Sebelum ini ada yang mewujudkan #30dayshijabchallenge sepanjang Ramadan lalu dan ada yang meminta saya untuk berbuat demikian.
“Lalu saya fikir, bagus juga cabaran tersebut kerana ia secara tidak langsung menggalakkan kita untuk menutup aurat di bulan puasa.
“Tetapi walaupun saya berhijab dan berpakaian sopan, saya tetap terima ‘direct message’ yang bukan-bukan, siap hantar yang ‘seram'” akuinya kepada MH.
Kongsinya lagi, ada yang meninggalkan komen dia kelihatan tetap seksi meski berpakaian sopan dan betudung.
“Malahan, ada yang siap komen, kata saya ni walaupun pakai tudung pun nampak seksi.
“Sebenarnya bukan pakaian aku yang bermasalah, jiwa kau yang bermasalah mentaliti kau yang bermasalah.
“Jadi saya rasa tak ada point pun kalau ada yang nak marahkan saya. Sebabnya, orang di luar sana pun kena betulkan diri sendiri dulu,” terangnya jujur.
Terdahulu, Zizi ditemui pada majlis pelancaran muzik video lagu Starlela yang menyaksikan dia turut menyanyikan lagu berkenaan di samping Ifa Raziah dan Bella Astillah di Red Box Garden, Mid Valley, semalam.
Zizi yang sebelum ini sinonim menerusi lagu Nak Ke Tak Nak dan Boleh Jalan turut menyambut baik pelawaan dari Ifa Raziah yang mahu berduet bersamanya dan Bella.