Penyanyi Aina Abdul menjelaskan, baju rekaan Syamil Fazwan yang dipakainya ketika membuat persembahan menerusi lagu Semalam di Separuh Akhir Muzik-Muzik 35 (SFMM35) pada Ahad melambangkan seorang wanita yang sudah lama meninggalkan masa silamnya namun tampil semula untuk bercerita.
Sambil menyifatkan dirinya gemar melakukan eksperimen terhadap persalinan yang digayakan ketika di atas pentas Aina turut memohon maaf sekiranya busana yang digayakan itu disamakan dengan watak hantu Valak dari filem The Conjuring.
“Saya suka bereksperimen dengan fesyen. Sebenarnya, ada cerita di sebalik busana saya.
“Busana ciptaan Syamil Fazwan ini menggambarkan saya sebagai seorang wanita yang sudah lama meninggalkan masa silamnya.
“Bila orang lihat saya dari busana terbabit, saya nak semua nampak saya sebagai wanita kuat yang datang semula untuk menceritakan apa yang dilalui dahulu.
“Sebenarnya, saya boleh agak orang akan samakan saya dengan watak itu. Saya minta maaf jika saya membuat orang lain seram,” seloroh Aina.
Mempertaruhkan single ciptaannya sendiri, Aina turut meluahkan rasa syukur apabila lagu tersebut turut terisi sebagai antara 12 buah lagu yang lolos ke ke AJL35.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur berjaya melayakkan diri ke pentas besar ini. Sebagai seorang penyanyi baru, ini adalah satu penghargaan yang sangat tinggi untuk saya.
“Terima kasih kepada barisan juri dan pihak TV3 yang memberikan peluang kepada Semalam. Sudah tentunya saya tak akan dapat buat semua ini tanpa bantuan pasukan yang menjadi 70 peratus kekuatan saya.
“Saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada peminat saya, Ainations. Mereka menjadi nadi dan pembakar semangat untuk saya terus melangkah.
“Insya-Allah, saya akan memberikan sebuah persembahan yang bakal diingati semua di malam AJL35 tahun hadapan. Saya mohon doa semua,” katanya lagi.
Foto: Instagram Aina Abdul