“Sebenarnya Saya Tak Kisah Dengan…,” – Andai ‘Saham Jatuh’ Selepas Kahwin, Ini Respon Zahirah MacWilson

Share

Pelakon, Zahirah MacWilson, akui dirinya tidak rasa  bimbang dengan tanggapan sesetengah pihak bahawa ‘saham’ seseorang artis itu akan jatuh sekiranya mereka mendirikan rumah tangga.

Ini kerana baginya, apa yang lebih penting adalah bakat dan peminat kini bijak untuk menilai.

Pada masa sama, pemilik nama lengkap Nur Zahirah MacWilson Zainol ini juga percaya rezeki dan masing-masing mempunyai pandangan sendiri terhadap persepsi tersebut.

“Sebenarnya saya tak kisah dengan pandangan orang yang mengatakan apabila seorang selebriti itu sudah kahwin, ‘saham’ akan jatuh.

“Bagi saya, kita tak boleh halang apa orang nak kata sebab macam mana pun mereka tetap akan bercakap juga.

“Akan tetapi pada akhirnya, itu semua berbalik kepada rezeki masing-masing. Sebab itu saya percaya kepada rezeki,” kata bintang cantik berusia 25 tahun itu.

Terdahulu,

Zahirah dan suaminya, pelakon Aiman Hakim Ridza sah bergelar suami isteri 20 Februari lalu dengan sekali lafaz di Foyer Glamhall Mercu Mustapha Kamal, Petaling Jaya.

Pasangan ini terlebih dahulu mengikat tali pertunangan pada 8 Jun tahun lalu di kediaman keluarga aktres itu di Perth, Australia.

Dalam perkembangan lain, Zahirah kini berdebar untuk menantikan reaksi peminat terhadap filem sulung lakonannya, Bulan & Pria Terhebat yang bakal ditayangkan 12 Mac ini.

Filem aksi arahan pengarah Ghaz Abu Bakar l yang diterbitkan bersama oleh Astro Shaw, Nizra Entertainment dan Skop Production itu turut dibintangi Maya Karin, Khir Rahman, Zizan Razak, Alif Hadi, Bell Ngasri, Didie Alias, Aprena Menrose, Sein Qudsi, Rashid Ishak dan ramai lagi.

Foto: Instagram Zahirah MacWilson

Published by
Rafiq Mazlan