Penyanyi Tasha Manshahar memohon doa orang ramai mendoakan kesembuhan buat kedua ibu bapanya yang telah disahkan positif Covid-19, baru-baru ini.
Tasha bagaimanapun memaklumkan, ibunya, Herina Wong Abdullah kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Serdang, Selangor, sementara bapanya, Mohd Manshahar berada dalam keadaan stabil dan menjalani kuarantin di rumah.
Menerusi perkongsian di Insta Stories, Tasha mendedahkan paru-paru ibunya mengalami jangkitan selain tahap kandungan Oksigen di dalam badan juga merosot.
Lalu, ibunya terpaksa dikomakan untuk memberikan bantuan pernafasan sehingga keadaan tubuh kembali stabil.
“Sebenarnya tidak menjangka langsung akan sampai jadi tahap macam ni. Dia (ibu) kelihatan sihat ketika mula-mula dimasukkan ke wad. Apa-apa pun, kami sekeluarga yakin yang menyembuhkan itu Allah.
“Sebab itu saya minta sangat-sangat doa semua. Doakan senjata oranf mukmin. Mummy pun kena kuat semangat,” tulisnya.
Dia pada masa sama, turut menzahirkan ucapan kasih kepada atas doa semua pihak dan mengakui memerlukan motivasi untuk berhadapan dengan situasi sebegini.
Foto: Instagram Tasha Manshahar