“Terima kasih kepada Marsha dan pasukannya.” Itu kata Sham Visa apabila ditanya mengenai persembahannya di program Gegar Vaganza 6 (GV6) minggu keempat kala menyampaikan lagu duet, My Heart bersempena dengan tema ‘Haaa Tepuk’, semalam.
Katanya di sidang media, dia berterima kasih buat bekas bintang Akademi Fantasia musim ketiga itu atas kesungguhan serta komitmen yang diberikan
“Saya beri kredit minggu ini kepada Marsha juga ‘teamnya’. Sebetulnya lagu ini agak sukar untuk dinyanyikan kerana ia mempunyai empat key berbeza. Kalau ‘tergelincir’ sikit, akan sumbang sampai habis.
“Jadi untuk atasi masalah tersebut, saya kerap buat latihan bersama Marsha. Apa pun saya sudah lega apabila selepas membuat persembahan.
“Saya cuba untuk buat sehabis yang mampu sebab utamanya ini pertandingan. Saya kena jadi orang lain setiap kali dapat lagu baru,” katanya yang akui sudah cuba yang terbaik.
Ditanya mengenai bahasa tubuhnya yang dikatakan agak kaku atau malu-malu di atas pentas meski ditemani rakan duet, Sham ada jawapannya sendiri.
“Sebetulnya, corak persembahan itu sudah pun dirancang. Ceritanya, Marsha seumpama ‘spirit’ yang sudah tidak ada. Saya tidak nampak tetapi dapat rasakan kehadirannya di sisi.
“Dalam pada saya ilusi… Cinta yang sudah lama hilang. Itulah asalnya, tapi apa yang dilihat oleh penonton, saya tidak berapa pasti,” jelasnya lagi.
Terdahulu, Sham atau nama lengkapnya, Rohisham Hashim sekadar menduduki ranking keenam daripada 11 peserta dengan markah sebanyak 68 peratus.
Sementara KOOLdiumumkan sebagai peserta tersingkir yang mengumpul markah keseluruhan paling rendah iaitu sebanyak 49 peratus.
GV6 disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), 9.00 malam setiap hari Ahad di saluran Astro Ria 104 dan Ria HD 123.
Pengarah muzik Datuk Ramli MS dan penyanyi Indonesia, Hetty Koes Endang menjadi juri tetap sementara Datuk Jamal Abdillah pula diundang sebagai juri jemputan minggu ini.