Pelakon dan penyanyi, Kilafairy memberitahu dirinya kini masih lagi bergiat aktif dalam bidang lakonan meski telah mengenakan hijab sepenuhnya sejak Jun tahun lalu.
Kilafairy atau nama sebenarnya Syakila Nisa Jahangir bersyukur apabila rezeki tawaran lakonannya kini semakin bertambah apabila kini penampilannya sudah berbeza daripada sebelumnya.
“Sehingga ke hari ini, masih ada lagi terima tawaran berlakon dan alhamdulillah rezeki pun makin bertambah-tambah apabila dah berhijab.
“Jadi, saya rasa bersyukur sangat sebab apabila saya berhijab banyak ruang dan peluang baru yang datang,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon berusia 30 tahun ini berkata dia kini akan memilih watak yang bersesuaian dengan imej penampilannya sebagai wanita berhijab sebelum untuk menerima sebarang tawaran lakonan.
Jelas anak kepada penyanyi terkenal Rohana Jalil ini, dia mahu menggelakkan untuk melakonan babak bersentuhan dalam lakonannya.
“Cuma sekarang ini dari segi watak itu saya kena memilih sikit lah sebab kena lihat juga permintaan dari pengarah sama ada atau tidak babak bersentuhan.
“Saya sebolehnya cuba pastikan pengarah okey dengan cara saya yang mahu elak babak bersentuhan dan sekiranya ada saya akan berbincang dulu.
“Kalau mana yang kita boleh ubah atas persetujuan bersama, saya akan buat,” katanya lagi.
Kilafairy telah berkongsi hal tersebut ketika ditemui di majlis sambutan ulang tahun pertama koleksi hijab RR Mono Scarves yang berlangsung di RR Pop Up Store, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Bersempena meraikan ulang tahun pertama ini, Kilafairy antara tujuh selebriti tanah air yang telah dilantik sebagai ‘muse’ koleksi hijab berkenaan.
Selain Kilafairy, antara yang terlibat adalah Ziana Zain, Aina Abdul, Izara Aishah, Amyra Rosli, Hawa Rizwana dan suri hati Rizman sendiri, Nurida Suraya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.