“Sebut Fasal Janda Mesti Akan Cakap Mulalah Nak Cari Hak Orang. Lalu Ada Baiknya Kalau…,” – Jawab Mya Ruslee Bila Dicop Asyik ‘Usung’ Kekasih Sana-Sini

Share

Mya Ruslee mengakui tidak akan menyembunyikan status andai dia sudah pun bersedia untuk mendirikan rumah tangga dengan kekasih hati, yang sudah dikenalinya lebih dua tahun lalu.

Tidak menafikan bahawa hubungan di antara mereka masih terlalu awal untuk merencanakan ke suatu fasa yang lebih serius, Mya bagaimanapun lebih selesa untuk berkawan dan mengenali hati budi terlebih dulu.

“Kalau ada (fasa seterusnya) kita akan kongsi. Benda baik buat apa nak sembunyikan. Cuma kalau ditanya nak bertunang atau terus kahwin tu, saya tiada jawapan lagi. Sebab semuanya masih lagi di peringkat awal. 

“Benda macam ni kena bawa bincang sesama kedua-dua belah pihak. Jadi setakat ini belum pun ada terfikir ke arah itu. Saya pun baru sahaja selesai dengan program Gegar Vaganza. Jadi lebih baik untuk fokus dalam kerjaya terlebih dulu.

“Saya akan kembali promosikan single terdahulu berjudul Perlu Ada Setia. Ada juga rancang untuk shooting muzik videonya,” katanya kepada MH.

Menjawab ‘usikan’ nakal sesetengah orang yang mengatakan penyanyi yang sinonim dengan lagu Matahari ini sering tayang kekasih yang lebih muda darinya, Mya mempunyai pendiriannya sendiri.

Tegasnya, ia terpulang kepada persepsi orang sekeliling, cuma apabila ada seorang lelaki di sisi, dia rasa lebih selamat dan terjaga.

“Kalau nak diikutkan saya dah lalui macam-macam benda. Malah, peminat sekarang lebih terbuka dan bijak menilai. Bukan nak bawa dia sesuka hati. Dia pun ada bantu saya itu dan ini. 

“Lagi pula, senang cerita macam saya ni pernah berkahwin dan bercerai. Jadi ada sesetengah mentaliti orang tu kalau sebut saja fasal wanita status janda mesti akan cakap mulalah nak cari hak orang. 

“Lalu, ada baiknya kalau saya bawa dia. Jadi orang yang pandangan sedemikian akan senyap. Tapi apapun, ia terpulang pada penerimaan masing-masing. Saya sendiri tiada masalah kalau ada yang anggap yang bukan-bukan,” terangnya lagi.

Terdahulu, Mya ditemui sejurus pelancaran produk Al-Fateh Junior di Hotel Royal Chulan Te Curve, Damansara pada Sabtu.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Nora Ariffin, Ezlynn, Lisdawati bersama suami, Yassin Sulaiman, Riz Amin dan ramai lagi.

Pertama kali dianjurkan, program adalah bertujuan untuk memperkenalkan produk terbaru keluaran rangkaian Al-Fateh di pasaran.

“Produk Al-Fateh Junior merupakan pemakanan tambahan madu dan buah-buahan seperti delima dan anggur yang dihasilkan khusus buat kanak-kanak seawal 6 tahun hingga 25 tahun.

“Pada masa sama, pada majlis ini turut diadakan kempen beli dan menang dengan hadiah bernilai lebih RM400,00,” kata pengarah urusan Al-Fateh Alami Sdn. Bhd, Tuan Ariff Subri bersama isteri dengan sokongan Kementerian Pembangunan Usahawan. 

Foto: Instagram Mya Ruslee

 

 

Published by
Rafiq Mazlan