Terlerai teka-teki, pelakon Keith Foo akhirnya mengakui dirinya sudah pun bercerai dengan model, Kim Raymond pada penghujung tahun lalu.
Menurut Keith menerusi laporan Gempak, dia dan bekas isteri sudah tidak bersama sejak dua tahun lalu.
“Kami berpisah semenjak dua tahun lalu tetapi secara rasminya bercerai pada Disember tahun lepas.
“Walaupun sudah tidak lagi bersama, kami masih berhubung dan rapat demi anak, Skylar Raymond Foo,” katanya seperti yang dipetik.
Bagaimanapun, pelakon filem Langit Cinta ini masih mengekalkan hubungan yang baik dan saling sepakat menjaga anak tunggal mereka.
“Kami sudah seperti rakan baik dan tiada masalah yang terjadi antara kami berdua biarpun tidak lagi bergelar suami isteri.
“Anak tinggal dengan isteri tetapi setiap hari saya bertemu dengan anak. Jika saya bercuti dan tiada penggambaran, anak akan tidur di rumah saya,” katanya lagi.
Sementara itu, Keith turut menyifatkan mereka mengambil keputusan untuk berpisah secara baik.
“Kami berpisah secara baik. Perkahwinan tidak boleh dipaksa. Daripada kita paksa-paksa, kita tangguh-tangguhkan, tak tahu apa akan jadi di masa akan datang.
“Jika dipaksa dan tiada persefahaman, takut perkara lebih buruk yang bakal terjadi. Sekarang, situasi yang kami hadapi menjadi lebih baik,” katanya lagi.
Terdahulu, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada November 2015 dan dikurniakan seorang cahaya mata pada 30 Mei 2017.
Keith mendedahkan perkara tersebut ketika ditemui pada sidang media telefilem Kita Merdeka oleh AEON dan Country Universal Sdn Bhd di One World Hotel, Petaling Jaya, pada Isnin.
Sumber: Gempak